Zeekr 007 GT – EV shooting brake stailo dengan jarak pandu cecah 825 km

Tatkala pengeluar lain sudah mula menarik brek tangan, Zeekr pula sedia untuk merancakkan kembali segmen wagon sporti menerusi pengenalan model 007 GT.
Zeekr 007 GT (atau nama lain Zeekr 7 GT di pasaran global) dibina berdasarkan sedan elektrik Zeekr 007 dan merupakan model shooting brake kedua selepas Zeekr 001.
Ia memiliki ukuran dimensi sepanjang 4,864 mm, lebar 1,900 mm, tinggi sehingga 1,445 mm dan jarak antara roda menghampiri 3 meter (2,925 mm).
Sebagai perbandingan, Zeekr 001 mempunyai ukuran sepanjang 4,977 mm, lebar 1,999 mm, dan jarak antara roda 3,005 mm.
Zeekr 007 GT boleh didapati dalam varian motor elektrik tunggal berkuasa 416 hp dan 440 Nm dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat.
Sementara varian motor elektrik berkembar mampu menjana kuasa setinggi 637 hp dan 710 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 3.8 saat.
Zeekr 007 GT menggunakan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) 75 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 650 km (data CLTC), sementara pek bateri nickel cobalt manganese (NCM) 100 kWh pula mempunyai jarak gerak sejauh 825 km.
Bateri LFP itu menyokong pengecasan paling pantas di dunia, di mana pengecasan 10 hingga 80 peratus boleh diselesaikan dalam tempoh 10.5 minit sahaja!
Untuk ruang kabin, terdapat skrin sentuh sebesar 15.4 inci serta skrin kluster digital dan skrin paparan head-up realiti terimbuh (AR) untuk kegunaan pemandu.
Di bahagian konsol tengah terdapat gugusan butang fungsi yang terletak pada bahagian bawah skrin, ruang storan, tempat meletak cawan dan dua slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.
Tempat duduk hadapan pula mempunyai ciri boleh laras 14 tahap lengkap dengan fungsi pemanas, penyejuk, urut dan balutan kulit Nappa.
Dari segi praktikaliti pula, ruang kabin Zeekr 007 GT ini menawarkan sehingga 36 tempat meletak barang, opsyen peti sejuk tersembunyi, dan ruang kargo sebesar 1,737 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Tidak cukup dengan itu, Zeekr 007 GT turut menawarkan sistem pemanduan pintar, terima kasih kepada 31 unit penderia termasuklah LiDAR, 11 kamera dan 3 radar yang membolehkannya mengelak halangan pada kelajuan tinggi dan berhenti secara automatik dalam keadaan tertentu.
Di China, Zeekr 007 GT dijual pada harga bermula dari RMB202,900 (RM121,876).
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.