Porsche 911 GT3 manual pecah rekod Nürburgring – lebih laju dari Viper ACR!

Sejak lapan tahun yang lalu, rekod kereta produksi dengan transmisi manual terpantas di Nürburgring dipegang oleh Dodge Viper ACR dengan catatan masa 7 minit 0.13 saat.
Kini, rekod tersebut akhirnya berjaya dileburkan oleh Porsche 911 GT3, yang mengelilingi litar Neraka Hijau itu dalam masa 6 minit 56.294 saat.
Apa yang menarik, rekod yang dicatatkan oleh Viper ACR dilakukan di litar yang lebih pendek berjarak 20.6 km, manakala rekod terbaharu ini pula direkodkan di litar yang sedikit lebih panjang iaitu 20.832 km.
Bukan itu sahaja, catatan masa ini juga lebih tiga saat pantas berbanding 911 GT3 terdahulu yang dilengkapi dengan transmisi PDK.
Ini satu pencapaian yang mengagumkan memandangkan transmisi klac berkembar lazimnya memberikan tindak balas yang lebih pantas berbanding transmisi manual, terutamanya di litar lumba.
Percubaan untuk memecah rekod ini dilakukan pada 8 April lalu oleh duta Porsche yang juga merupakan bekas pelumba profesional, Joerg Bergmeister.
Ia dilakukan menggunakan 911 GT3 versi terbaharu (992.2) yang dilengkapi dengan transmisi manual enam kelajuan, pakej Weissach, serta tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R N1 yang sah digunakan di jalan raya.
Menurut Porsche, cuaca pada hari tersebut agak baik, dengan suhu 12.2°C, manakala suhu permukaan litar pula sekitar 26.6°C.
Bercakap mengenai populariti transmisi manual, Andreas Preuninger, Pengarah Barisan Model GT di Porsche, berkata: “Semakin ramai pemilik 911 GT3 memilih transmisi manual enam kelajuan. Dan makin kerap juga kami dapat soalan daripada mereka—sejauh mana lajunya 911 GT3 dengan transmisi manual di Nordschleife.”
Sebagai imbasan ringkas, 911 GT3 992.2 diperkenalkan pada Oktober tahun lalu dengan enjin 4.0-liter NA enam silinder yang menjana 510 PS dan 450 Nm. Selain versi manual, ia juga ditawarkan dengan transmisi PDK tujuh kelajuan.
Walaupun hadir dengan enjin yang sama seperti sebelumnya, model baharu ini lebih pantas di litar hasil penambahbaikan dari segi aerodinamik dan casis.
Sebagai perbandingan, Viper ACR mempunyai enjin 8.4-liter V10 dengan kuasa sebanyak 654 PS dan 814 Nm.
Peminat segala jenis kenderaan