Nissan Frontier Pro sedia bersaing dengan BYD Shark dalam segmen trak pikap PHEV

Nissan telah memperkenalkan trak pikap plug-in hybrid pertamanya iaitu Frontier Pro di Auto Shanghai 2025.
Kemunculan yang tidak disangka-sangka ini bukan sahaja menandakan kemasukan Nissan ke dalam dunia trak pikap PHEV, tetapi juga menunjukkan hala tuju jenama ini di China, di mana sembilan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) akan diperkenalkan menjelang 2027.
Direka berdasarkan konsep ‘Rugged Tech’, Frontier Pro tampil gagah dan moden dengan logo Nissan yang bercahaya, ditemani lima elemen lampu LED yang menyerlahkan lagi penampilannya.
Apa yang menarik, tiga lampu LED di bahagian tengah diinspirasikan daripada liang udara pada trak pikap ikonik Nissan D21 yang popular pada era 80-an.
Tidak dapat dipastikan berapa varian Frontier Pro akan ditawarkan, namun menurut Nissan, semua varian didatangkan secara standard dengan rim aloi 18 inci dan tayar bersaiz 265/65.
Ruang kabinnya mampu memuatkan sehingga lima penumpang, serta dilengkapi pelbagai ciri terkini seperti skrin infotainmen bersaiz 14.6 inci, panel instrumen digital 10 inci, dan bumbung panoramik.
Seperti kebanyakan trak pikap moden di pasaran kini, Frontier Pro turut ditawarkan dengan pelbagai ciri keselesaan seperti fungsi pemanas, penyejuk dan urut pada tempat duduk hadapan. Ciri praktikal seperti rel bumbung dan penutup elektrik untuk ruang kargo di belakang juga disediakan.
Frontier Pro dijana oleh enjin petrol 1.5 liter turbo empat silinder yang digandingkan dengan motor elektrik yang dipasang pada kotak gear. Gabungan ini menghasilkan lebih 300 kW (408 PS) dan sehingga 800 Nm tork.
Untuk pasaran China, model ini dijangka mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sehingga 135 km.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan empat mod pemanduan (Hybrid, Pure Electric, Performance dan Snow), sistem pacuan semua roda (AWD) pintar, serta kunci pembeza belakang (rear diff-lock) elektromekanikal.
Terdapat juga ciri Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan pengguna mengecas perkakasan elektrik terus dari trak ini.
Dibangunkan dengan kerjasama Zhengzhou Nissan, Frontier Pro akan dilancarkan di pasaran China menjelang akhir tahun ini. Ia juga bakal dieksport ke pasaran antarabangsa, namun buat masa ini, destinasi eksport masih belum diumumkan.
Peminat segala jenis kenderaan