fbpx

BMW perkenal M2 Racing, kereta lumba ‘entry-level’ serius untuk pasukan persendirian

BMW M2 Racing 04

Bagi pelumba yang bercita-cita tinggi untuk beraksi di litar tanpa perlu berbelanja besar, BMW M Motorsport telah memperkenalkan pilihan baharu yang menarik.

Syarikat itu telah memperkenalkan M2 Racing, kereta lumba entry-level yang diilhamkan daripada model M2 versi produksi, disasarkan khusus untuk pasukan persendirian. Pasukan yang berminat boleh mendapatkan jentera baharu ini bermula Jun tahun ini untuk saingan musim 2026.

Sudah tentu, M2 Racing sangat berbeza dengan M2 versi jalanan. Perubahan paling ketara terletak di bawah bonet, di mana enjin 3.0 liter twin-turbo enam silinder digantikan dengan enjin 2.0 liter empat silinder daripada 2 Series Gran Coupe.

Jika dibandingkan dengan 473 hp dan 600 Nm yang ada pada M2, kuasa yang dihasilkan oleh enjin empat silinder ini jauh lebih rendah iaitu 308 hp dan 420 Nm.

Ia disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik ZF tujuh kelajuan dan LSD (limited-slip differential) mekanikal, membolehkan M2 Racing mencapai kelajuan maksimum melebihi 270 km/j.

Jentera ini masih menggunakan casis yang sama, cuma ia telah dinaik taraf dengan pelbagai ‘jajan’ menarik termasuk sistem suspensi KW dan bar anti-oleng boleh laras pada bahagian depan dan belakang. Tugas membrek pula diserahkan kepada cakera BMW M Compound.

Seperti yang dijangka, ruang dalamannya telah dikosongkan bagi memberi ruang kepada sangkar keselamatan yang mematuhi piawaian FIA, kerusi bucket Sabelt GT-AM serta sistem pemadam api terbina dalam.

Apa yang menarik, sistem penghawa dingin dikekalkan dan pelanggan turut diberi pilihan untuk menambah tempat duduk penumpang.

Menurut pemandu BMW M, Jens Klingmann, M2 Racing lebih hampir kepada M2 berbanding kereta GT peringkat lebih tinggi seperti M4 GT3. Namun di litar, ia masih mampu memberikan keseronokan pemanduan yang sama seperti jentera BMW M dan BMW M Motorsport.

Harga M2 Racing ditetapkan pada 98,000 euro (RM484,620) di Eropah, lebih mahal dari M2 standard yang dijual pada harga 77,500 euro (RM383,250), namun jauh lebih mampu milik jika dibandingkan dengan M4 GT3 yang berharga 415,000 euro (RM2.1 juta).

Menurut BMW M Motorsport, mereka akan menawarkan sokongan penuh kepada pasukan pelanggan yang akan menyertai saingan musim depan dengan M2 Racing.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved