Selepas pelancaran model Dashing, Jetour Malaysia mengesahkan sebuah lagi SUV keluarga tujuh tempat duduk bakal mendarat di Malaysia dalam masa terdekat.
Tidak seperti nama yang digunakan di pasaran luar, SUV tiga baris ini akan dikenali dengan nama baharu Jetour VT9, berdasarkan hantaran di laman Instagram.
Jetour baru-baru ini ada mempamerkan VT9 versi pemanduan sebelah kanan (RHD) bersempena persidangan Jetour Together For Future dan Auto Shanghai 2025 di hotel Hilton Shanghai Hongqiao.
VT9 secara asasnya merupakan SUV segmen D dengan ukuran dimensi 4,724 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,720 mm dengan jarak antara roda 2,720 mm.
Di Malaysia, ia bakal bersaing dengan model seperti Chery Tiggo 8 Pro dan Proton X90.
Dari segi kuasa, VT9 mendapat enjin 1.5 liter turbo yang sama digunakan pada model Dashing, diikuti padanan transmisi klac berkembar (DCT) enam kelajuan.
Berdasarkan model RHD yang dipamerkan, susun atur ruang kabin VT9 adalah hampir sama dengan model Dashing, dengan ciri seperti skrin berkembar 10.25 inci, roda stereng dan butang pandu mula stail Mercedes, pengecas peranti tanpa wayar, serta tombol gear Jet Tour.
Cuma beza yang ketara antara kedua-dua model tersebut ialah rekaan panel pintu serta kemasan pada tempat duduk hadapan.
Spesifikasi lanjut berserta harga jualan hanya bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi yang akan berlangsung di Malaysia Autoshow 2025 pada bulan hadapan.