MForce Bike Holdings baru-baru ini melancarkan sebuah lagi skuter maxi untuk pasaran tempatan di bawah jenama Ariic, iaitu 318GT 2025.
Skuter ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair bersesaran 330 cc yang mampu menghasilkan 27.6 hp @ 7,000 rpm dan daya kilas 30.8 Nm @ 5,500 rpm.
Nama 318GT itu diinspirasikan daripada Lebuhraya Nasional 318 yang memiliki jarak paling panjang di negara China.
Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan dan penyerap hentak berkembar di belakang, dibantu dengan sistem brek cakera berkembar 260 mm di depan, rotor tunggal 240 mm di belakang dan sistem ABS dua saluran.
Antara kelengkapan pada 318GT ini termasuklah unit lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) agresif, lampu belakang LED, penghadang angin boleh laras elektronik, butang kawalan bercahaya, port pengecasan USB, kamera perakam tunggangan hadapan dan sistem kunci pintar.
Ia juga turut menyediakan ruang penyimpanan tengah, serta ruang storan bawah pelana yang boleh memuatkan satu topi keledar bermuka penuh dan satu topi keledar separuh.
Terdapat juga skrin paparan TFT berwarna penuh yang lengkap dengan ciri sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
Kapasiti tangki bahan api adalah sekitar 16 liter, sementara tinggi pelana pula 790 mm.
Untuk pasaran Malaysia, Ariic 318GT dijual pada harga RM22,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.