Selain kemunculan GR Yaris varian automatik, UMW Toyota Motor (UMWT) turut sama mengumumkan penawaran model terbaharu Gazoo Racing, iaitu Toyota GR Supra Track Edition.
Tidak seperti model standard GR Supra, varian Track Edition ini menjanjikan pemanduan yang lebih mengujakan, terima kasih kepada naik taraf sistem casis, pengendalian dan aerodinamik.
Toyota GR Supra Track Edition dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo dengan hamburan kuasa 388 PS dan 500 Nm, dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan atau automatik 8-kelajuan.
Menjadikan pemanduan GR Supra Track Edition ini lebih mengujakan ialah penggunaan sistem suspensi adaptif yang telah ditala untuk kadar cengkaman yang lebih berkesan, diikuti pemetaan semula eksklusif Track Edition pada sistem stereng kuasa dan pembeza gelincir terhad (LSD).
Sistem brek pula dinaik taraf kepada rotor hadapan 374 mm yang lebih besar, dibantu dengan angkup empat omboh Brembo.
Tidak ketinggalan, aspek aerodinamik yang dipertingkatkan seperti spat tayar yang dilebarkan, sirip aero, dan spoiler ekor itik gentian karbon untuk daya mendap yang lebih besar.
Selain itu, Toyota telah memperkukuh lengan kawalan hadapan dan melaraskan kembali camber negatif hadapan untuk pengendalian yang lebih lincah, diikuti dengan sesendal dan bar pengimbang yang dipertingkatkan untuk respons pengendalian yang lebih tajam.
Toyota GR Supra Track Edition hadir dengan rim aloi hitam kusam bersaiz 19 inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Super Sport.
Untuk ruang kabin pula disediakan kemasan upholsteri kulit dan Alcantara hitam berserta sulaman logo GR, tali pinggang keledar merah, sistem bunyi JBL dengan 12 pembesar suara, skrin paparan head-up berwarna dan tombol gear khas untuk GR Supra versi manual.
Ciri keselamatan standard yang dimuatkan pada kereta sports ini termasuklah amaran pra-pelanggaran, amaran keluar lorong dengan bantuan stereng, kawalan jelajah adaptif, sistem pemantauan titik buta dan brek kecemasan.
Untuk pasaran Malaysia, GR Supra Track Edition dijual pada harga bermula dari RM698,000.