Hanway Heritage 400 2025 rasmi di Malaysia – RM22,800

Sebuah lagi jenama China membuat kemunculan rasmi di pasaran Malaysia, iaitu Hanway yang membawakan model cruiser baharu dinamakan sebagai Heritage 400.

Hanway Heritage 400 membawakan penggayaan stail bobber yang menawarkan pilihan pelana tunggal atau tetapan pelana untuk dua orang pada satu-satu masa.

Ia dikuasakan oleh enjin dua silinder 401 cc sejukan cecair yang mampu menjana kuasa 41.6 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 34 Nm @ 8,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan dan pacuan akhir rantai.

Kerangka jenis cradle itu disokong dengan suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak berkembar dengan larasan pra-beban di belakang.

Aspek pemberhentian pula menggunakan rotor berkembar 300 mm untuk roda depan, dibantu dengan rotor tunggal 255 mm di belakang dan sistem ABS dua saluran.

Hanway Heritage 400 menampilkan ciri seperti unit lampu utama LED, paparan meter gandingan analog dan digital, tinggi pelana 690 mm serta tangki bahan api sebesar 12 liter.

Di Malaysia, Hanway Heritage 400 2025 dijual pada harga RM22,800.