Bentley Continental GT Speed rasmi di Malaysia, harga dari RM3.12 juta

Bentley Kuala Lumpur baru-baru ini meraikan ketibaan model grand tourer (GT) yang paling berkuasa pernah dihasilkan, iaitu Bentley Continental GT Speed.

Generasi keempat Continental GT Speed ini dikuasakan oleh nadi V8 plug-in hybrid (PHEV) ‘Ultra Performance Hybrid’ yang mampu menjana kuasa keseluruhan 782 PS dan daya kilas 1,000 Nm.

Enjin V8 turbo berkembar itu sendiri berupaya menghasilkan 600 PS dan 800 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik 190 PS/450 Nm yang dipasang dalam perumah transmisi untuk mengurangkan kesan turbo lag.

Secara keseluruhan, tetapan PHEV ini menawarkan peningkatan kuasa sebanyak 19 peratus serta daya kilas 11 peratus lebih tinggi berbanding Continental GT Speed yang dilengkapi enjin W12.

Tiada lagi fungsi penyahaktifan silinder diperlukan, kerana sistem hibrid pada Continental GT Speed ini boleh menghentikan terus fungsi enjin ketika motor elektrik sedang beroperasi.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda menerusi transmisi klac berkembar lapan nisbah kelajuan, dibantu dengan pembeza gelincir terhad elektronik (eLSD).


Disebabkan itu, pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 335 km/j.

Pek bateri 25.9 kWh pula membenarkan GT ini dipandu dalam mod sifar emisi sejauh 80 km pada kelajuan sehingga 140 km/j.

Continental GT Speed ini turut dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda aktif, sistem stereng semua roda, torque vectoring, Bentley Dynamic Ride dan perisian kawalan ESC generasi baharu.

Untuk memastikan jentera GT ini berhenti dengan cemerlang, Bentley memadankan sistem brek terdiri daripada angkup 10 omboh dan rotor bersaiz 420 mm di depan, diikuti angkup empat omboh dan rotor 380 mm di belakang.

Terdapat juga opsyen untuk memadankan sistem brek carbon-silicon-carbide dengan rotor bersaiz 440 mm depan dan 410 mm di belakang.

Bentley Continental GT generasi keempat ini merupakan model Bentley pertama yang menampilkan tetapan lampu utama tunggal bagi menggantikan tetapan lampu bulat berkembar.

Unit lampu matriks LED itu menampilkan 120 unit LED berasingan yang boleh dikawal secara digital untuk memaksimumkan pencahayaan.

Sementara unit lampu belakang pula mempunyai corak berlian tiga dimensi yang membawakan efek seakan lava cair apabila bernyala.

Keempat-empat sudut gerbang roda dihiasi dengan rim rekaan baharu saiz 22 inci yang diinspirasikan daripada harimau.

Ruang kokpit Bentley Continental GT Speed ini menyediakan tempat duduk boleh laras sehingga 20 tahap yang cukup selesa untuk perjalanan jauh, gugusan butang fungsi untuk HVAC pada konsol tengah, serta kehadiran jam analog di tengah-tengah corong pendingin hawa.

Untuk pemandu disediakan skrin kluster digital, manakala di bahagian tengah pula terdapat Bentley Rotating Display yang menyediakan tiga sisi berbeza: skrin infohibur 12.3 inci, tiga dial analog atau panel kosong sekiranya anda tidak mahu pemanduan terganggu sepanjang perjalanan.

Terdapat tiga pilihan sistem audio ditawarkan untuk Continental GT:
– Standard 650W dengan 10 pembesar suara
– Bang & Olufsen 1,500W dengan 16 pembesar suara dan jeriji bercahaya
– Naim 2,200W, 18 pembesar suara, Active Bass Transducers dan sehingga lapan mod disediakan untuk golongan audiophile

Aspek keselesaan dalam kabin dipertingkatkan dengan penggunaan kaca akustik berlamina yang menawarkan sehingga 9 dB lebih senyap berbanding kaca bukan akustik.

GT Bentley ini juga turut dilengkapi dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kemas kini over-the-air (OTA), sistem pencahayaan ambien, serta ciri Intelligent Park Assist.

Untuk pasaran Malaysia, Bentley Continental GT Speed dijual pada harga bermula dari RM3,120,000 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran, serta opsyen penyesuaian bersifat peribadi.