Lotus Emira Clark Edition – tribut kepada pelumba hebat F1 era 60-an

Jim Clark diiktiraf sebagai salah seorang pelumba sukan Formula Satu yang paling hebat di dalam sejarah.

Sebagai salah satu tanda penghargaan terhadap insan tersebut, Lotus kini menawarkan kereta sports edisi terhad Emira Clark Edition.

Penampilan luaran Emira ini diinspirasikan daripada jentera lumba Lotus Type 38, dengan layangan warna Clark Racing Green berserta jalur kuning.

Kereta ini turut diserikan dengan bumbung hitam, perumah cermin sisi perak dan tip ekzos kuning.

Tidak ketinggalan, penutup tangki bahan api berwarna biru, serta lencana Clark Edition pada hujung pintu.

Ruang kabin Emira diserikan dengan warna dua tona hitam merah, seperti tema yang digunakan pada jentera Team Lotus era 60-an.

Selain daripada unsur-unsur penghargaan kepada Jim Clark, Lotus Emira Clark Edition juga membawakan tema klasik menerusi penampilan tombol gear manual yang diperbuat daripada kayu.

Lotus Emira Clark Edition menggunakan model Emira V6 sebagai asas, dengan enjin V6 Toyota yang mampu menjana kuasa kuda 400 hp dan 420 Nm yang dipadankan dengan transmisi manual.

Produksi untuk Emira edisi terhad ini akan dihadkan kepada 60 unit sahaja dan hanya boleh didapati di pasaran tertentu.

Untuk makluman, harga jualan Lotus Emira Clark Edition bermula dari £115,000 (RM647,342) di pasaran UK.