VW Golf GTI Black Edition rasmi di Malaysia – dari RM243,990

Buat para peminat hot hatch, Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) kini menawarkan Golf GTI Black Edition untuk pasaran tempatan.
VW Golf GTI Black Edition menampilkan estetika luaran gelap yang diinspirasikan daripada konsep ‘Stealth‘.
Selain warna Deep Black, Golf GTI Black Edition juga boleh didapati dalam warna Kings Red.
Antara ciri yang wujud seperti rim aloi Richmond 18 inci, penutup hab dinamik GTI, penutup injap tayar GTI, logo BLACK, serta kemasan hitam pada lip hadapan, diffuser belakang, skirting sisi dan cermin sisi.
Selain itu, VW Golf GTI Black Edition hadir dengan filem penapis haba Volkswagen Tint yang mematuhi piawaian JPJ.
Untuk ruang kabin, Golf GTI Black Edition dilengkapi dengan karpet lantai Black Edition, Cargo Elements (dengan pelekat velcro), serta kamera perakam pemanduan UTR2.0.
Setiap pemilik akan diberikan kotak istimewa Black Edition yang mengandungi pemegang kunci Volkswagen, serta Sijil Ketulenan.
Dari segi spesifikasi, VW Golf GTI Black Edition kekal dengan enjin 2.0 liter turbo (kod EA888) yang mampu menjana kuasa 245 PS dan 370 Nm.
Dengan padanan kotak gear DSG tujuh kelajuan, pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 6.3 saat sahaja.
Harga jualan VW Golf GTI Black Edition kini serendah RM243,990, lengkap dengan Volkswagen Assurance Package (VAP) yang terdiri daripada pakej penyelenggaran percuma tujuh tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan percuma lima tahun.
VW Golf GTI Black Edition akan dipamerkan di reruai Volkswagen di Malaysia Autoshow 2025 di MAEPS Serdang dari 9-15 Mei 2025.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.