Audi Q7 CKD rasmi untuk pasaran Malaysia, 3.0 TFSI, varian tunggal S Line, RM460k

AUDI Malaysia mencatatkan pencapaian bermakna untuk pasaran negara ini dengan pengenalan Q7 versi pemasangan tempatan (CKD). Ia bukan sahaja Audi Q7 CKD pertama di Malaysia, tetapi juga untuk Asia Tenggara.

Audi Q7 ini dikuasakan oleh enjin 3.0-liter TFSI dengan output 340PS dan 500Nm. Enjin 6-silinder yang dikongsi dengan Volkswagen Touareg ini juga disokong oleh sistem mild-hybrid 48 volt yang membolehkannya meluncur tanpa kuasa enjin jika diperlukan.

Transmisi pula ialah unit ZF 8-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda Quattro. Dari segi prestasi, SUV premium bersaiz besar ini mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 5.6 saat. Kelajuan maksima pula ialah 250km/j. Terdapat sehingga tujuh mod pemanduan berbeza yang boleh dipilih menerusi fungsi Audi Drive Select.

Dari sudut pandang luar, Audi Q7 didatangkan dengan pakej penggayaan S line yang sporti, ditambah pula dengan Black Styling Package Plus terdiri daripada Audi Singleframe, lencana Q7, logo Audi warna anthracite grey, spoiler belakang serta rim Audi Sports bersaiz 22 inci.

Selain itu, terdapat juga unit pencahayaan utama HD matriks LED terdiri daripada Audi Laser Light dan OLED Digital, sistem suspensi udara adaptif dan juga ciri stereng semua roda.

Bahagian kabin pula dilengkapi dengan skrin instrumen 12.3-inci, skrin tengah 10.1-inci, skrin ketiga 8.6-inci, sistem pendingin hawa empat-zon, pakej kemasan S Line, dan Apple Carplay serta Android Auto tanpa-wayar.

Terdapat juga ciri penutupan pintu lembut, head-up display, navigasi Audi Connect, sistem audio Bang & Olufsen premium, kamera 360-darjah, suspensi udara adaptif, stereng roda belakang, dan pintu but berkuasa.