fbpx

Jetour VT9 2025 rasmi dilancarkan di Malaysia Autoshow 2025, dari RM118,800

IMG_4522

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Jetour Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV keluarga tujuh tempat duduk VT9.

SUV segmen D ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo menghasilkan 156 PS dan daya kilas 230 Nm yang dipadankan dengan transmisi DCT enam-kelajuan.

Ia membawakan tetapan suspensi topang MacPherson di depan, diikuti dengan tetapan Multilink di belakang.

Dari segi dimensi, VT9 berukuran 4,274 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,720 mm dengan jarak antara roda 2,720 mm.

Secara standard, VT9 dibekalkan dengan rim 19 inci, lampu utama LED, jeriji hadapan dengan elemen 3D, serta kemasan tip ekzos palsu di belakang.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin berkembar 10.25 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas jenis USB, soket 12V, slot pengecas peranti pintar tanpa wayar, serta bumbung kaca panorama (varian Prime sahaja).

Ruang kargo pula berkapasiti 89 liter di belakang tempat duduk baris ketiga, namun boleh dibesarkan sehingga 1,680 liter untuk pelbagai keperluan.

Untuk pasaran Malaysia, Jetour VT9 boleh didapati dalam warna Tech Grey, Phantom Grey, Aurora Green, Star Black serta Khaki White.

Ciri keselamatan termasuklah enam beg udara, kawalan jelajah, kamera 360 darjah, bantuan mula mendaki dan menurun cerun, sistem pengesanan titik buta (BSW), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran bukaan pintu (DOW) dan amaran penukaran lorong (LCW).

Harga jualan pula bermula dari RM118,800 untuk varian Comfort, dan sehingga RM123,800 untuk versi Prime.

 

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved