MAS2025: BMW 330Li M Sport sedan sporti dengan jarak roda tambahan, 258hp, RM321k

TIRAI Malaysia Autoshow 2025 dibuka oleh BMW Malaysia dengan pengenalan 330Li M Sport, iaitu sedan sporti long wheelbase (jarak roda panjang). Model ini juga meraikan lima dekad jenama BMW serta tujuh generasi 3-Series.
Nadi kepada jentera ini ialah enjin 2.0-liter petrol 4-silinder berkuasa 258hp dan 400Nm, memberikan pecutan 0-100 dalam 6.2 saat dan kelajuan maksima 250km/j.
Dari segi penampilan, BMW 330Li M Sport dilengkapi dengan kidney grille Pearl Chrome, lampu LED adaptif lebih nipis. Sementara itu, jarak roda panjang menjanjikan keselesaan tambahan untuk penumpang belakang.
Kabin 330Li M Sport pula didatangkan dengan BMW Curved Display yang merangkumi paparan 12.3-inci untuk pemandu dan paparan 14.9-inci sebagai unit infotainmen. Kedua-dua ini menggunakan BMW Operating System 8.5 terkini.
Sedan ini juga mendapat kemasan Galvanic Embellisher untuk Controls, elemen kristal Crafted Clarity pada tombol iDrive, dan sistem audio premium Harman Kardon Surround Sound dengan 16 pembesar suara.
Ciri lain pada 330Li termasuklah Active Cruise Control dengan Stop&Go, Parking Assistant Plus, dan Tyre Pressure Indicator.
BMW 330Li M Sport boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Carbon Black, M Brooklyn Grey, dan Arctic Race Blue, dengan pilihan kemasan kulit Leather Vernasca Mocha atau Leather Vernasca Cognac.
Sedan ini boleh menjadi milik anda pada harga RM320,800, dan setiap tempahan yang dibuat antara 1 hingga 31 Mei 2025, layak mendapat BSI Extension 1-tahun, dan subsidi insurans Easy Drive bernilai RM5,000.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.