Rangkaian MINI di Malaysia dikembangkan lagi dengan varian Cooper Convertible. Ini khas untuk anda yang rasakan MINI Cooper biasa tidak cukup bergaya dan mahukan pengalaman pemanduan dengan angin menerpa ke rambut dan kepala anda.
Bumbung Cooper Convertible ini adalah jenis soft top yang boleh dibuka atau ditutup dalam masa 18 saat. Ia mempunyai dua pilihan bukaan iaitu sebagai sunroof atau dibuka sepenuhnya.
Untuk pasaran Malaysia, MINI Cooper Convertible hadir dengan lampu LED bulat yang menjadi identiti tetapi dengan high beam assistant, serta gril radiator oktagonal.
MINI Convertible ini mendapat enjin 2.0-liter 4-silinder petrol dengan kuasa 204hp dan 300Nm tork, membolehkan jentera cilik ini memecut ke 100km/j dalam masa 6.9 saat. Kelajuan maksima pula ialah 237km/j.
Ciri lain pada kereta ini termasuklah rim Night Flash 18-inci, MINI Operating System 9, MINI Experience Modes, sistem audio Harman Kardon, MINI Digital Key Plus, MINI Connected Package, MINI Navigation Extended, dan Remote Engine Start.
MINI Cooper Convertible didatangkan dengan tiga pilihan warna: Copper Grey, Sunny Side Yellow, dan Ocean Wave Green.