Setelah beberapa siri pameran model konsep, Perodua akhirnya memperlihatkan bentuk sebenar kereta elektrik EV 1 di Malaysia Autoshow 2025.
Tidak seperti model konsep eMO-II yang dipamerkan sebelum ini di KLIMS 2024, EV 1 ini mempunyai bentuk luaran yang lebih mirip kepada model produksi sebenar.
Menurut Perodua, acara pameran di Malaysia Autoshow 2025 merupakan siri terakhir sesi teaser daripada pengeluar tersebut sebelum ia dilancarkan secara rasmi Disember ini.
Difahamkan, EV baharu ini akan dipasang di kemudahan baharu BEV yang terletak di Sungai Choh, Rawang.
Fasa pengeluaran secara besar-besaran akan bermula pada September ini, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 500 unit sebulan.
Mengikut spesifikasi awal, Perodua eMO mampu memecut sepantas 7 saat dari pegun ke 100 km/j.
Kapasiti pek bateri Lithium-ion Phosphate (LFP) tidak diberitahu, namun mampu menawarkan jarak pandu sejauh 410 km untuk sekali cas penuh.
Jelas Perodua lagi, EV 1 ini akan ditawarkan sekali dengan program sewa bateri, di mana proses penukaran bateri boleh dilakukan di pusat servis Perodua dengan mudah.