Honda Gold Wing Tour 2025 sempena ulang tahun yang ke-50 – RM222,888

Selain model CB1000 SP, Boon Siew Honda turut melancarkan model premium Gold Wing Tour 2025 bersempena dengan sambutan ulang tahun Gold Wing yang ke-50.

Jentera touring ini dikuasakan oleh enjin flat-six 1,833 cc dengan janaan kuasa 129 hp @ 5,500 rpm dan 170 Nm @ 4,500 rpm.

Enjin besar itu tadi dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan untuk penukaran gear yang lebih lancar, lengkap dengan fungsi undur.

Edisi ulang tahun ke-50 ini menampilkan kemasan eksklusif berupa logo Gold Wing dengan lencana ’50th Anniversary since 1975′, serta kemasan krom pada fob kunci.

Antara ciri lain termasuklah sistem pencahayaan LED, lampu kabus LED, penghadang angin boleh laras, port pengecasan USB Type-C, kotak storan atas sebesar 61 liter, kotak pannier kiri dan kanan sebesar 60 liter, serta kunci pintar.

Unik untuk model Gold Wing ini ialah tetapan suspensi jenis double wishbone untuk roda depan, diikuti dengan tetapan Pro Link dengan larasan spring elektronik bergantung kepada mod tunggangan.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor berkembar 320 mm dengan angkup enam omboh di depan, serta rotor tunggal 316 mm dengan angkup tiga omboh di belakang.

Terdapat skrin paparan TFT berwarna sebesar tujuh inci yang diapit oleh dua meter analog, lengkap dengan sokongan GPS, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Apple CarPlay dan Android Auto, fungsi intercom Bluetooth, dan sistem audio 55 watt.

Dengan ciri Throttle-by-Wire, Gold Wing Tour menawarkan sehingga empat mod tunggangan iaitu Tour, Sport, Econ dan Rain.

Ciri bantuan elektronik lain termasuklah Honda Selectable Torque Control (HSTC), sistem berhenti melahu (ISS), serta bantuan mula mendaki (HSA).

Tidak ketinggalan beg udara terbina bertujuan untuk mengurangkan kesan kecederaan akibat pelanggaran hadapan.

Honda Gold Wing Tour 2025 boleh didapati dalam pilihan warna Eternal Gold atau Bordeaux Red Metallic, dengan harga jualan RM222,888 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.