Royal Enfield Bear 650 2025 kini di Malaysia – dari RM35,700

Royal Enfield meluaskan lagi penawaran portfolio model 650 di pasaran Malaysia dengan pelancaran model baharu, iaitu Bear 650.
Royal Enfield Bear 650 disifatkan sebagai sebuah scrambler versatil dengan penampilan yang lebih menonjol dan berani.
Menggunakan pelantar yang sama dengan model Interceptor 650, Bear 650 dilengkapi enjin dua silinder sebaris dengan kuasa 47 hp @ 7,250 rpm dan daya kilas maksimum 56.5 Nm @ 5,150 rpm yang diakhiri dengan sistem ekzos 2-1.
Sesuai dengan imej scrambler, Bear 650 dipadankan dengan tayar bunga blok membaluti rim 19 dan 17 inci, sistem suspensi yang terdiri daripada fork Showa USD (jarak pergerakan roda 130 mm) serta penyerap hentak berkembar Showa di belakang (jarak pergerakan roda 115 mm) yang menyumbang kepada jarak kelegaan tanah setinggi 184 mm.
Sistem brek pula terdiri daripada rotor tunggal 320 mm dengan angkup dua omboh di depan, serta rotor 270 mm dengan angkup omboh tunggal di belakang yang dibantu dengan sistem ABS dua saluran yang boleh dinyahaktifkan mengikut keperluan.
Akhir sekali, Bear 650 dilengkapi dengan skrin paparan TFT Tripper Dash dengan antara muka yang ringkas dan mudah untuk dibaca.
Royal Enfield Bear 650 boleh didapati dalam tiga pilihan warna (Petrol Green, Wild Honey, dan Golden Shadow) dengan harga RM35,700, atau edisi khas Bear 650 Two Four Nine dengan harga jualan RM36,000.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.