Blueshark perkenal SoloEra – jenama motosikal elektrik mampu milik untuk rakyat Malaysia

Landskap motosikal elektrik di Malaysia bakal menjadi lebih meriah dengan kehadiran SoloEra, sub-jenama baharu daripada penyedia mobiliti elektrik terkemuka iaitu Blueshark.
Jenama SoloEra, bersama tiga modelnya iaitu Solo 1, Solo 2 dan Solo 3, kini dipamerkan buat pertama kali kepada umum di acara Malaysia Autoshow 2025. Pameran ini berlangsung di reruai Petronas di Dewan A, MAEPS Serdang, dari 9 hingga 15 Mei.
Menurut Blueshark, SoloEra disasarkan sebagai rangkaian motosikal elektrik yang lebih mampu milik dan mudah diakses, bagi menarik minat lebih ramai penunggang di Malaysia.

Jenama baharu ini dibangunkan berasaskan kepakaran Blueshark dalam teknologi mobiliti elektrik pintar, termasuk sistem penukaran bateri dan teknologi ketersambungan, namun dengan penekanan terhadap reka bentuk ringkas dan harga yang berpatutan.
Pengeluaran model-model SoloEra dijadualkan bermula pada Jun 2025 di fasiliti khas yang terletak di Glenmarie, Shah Alam, dan akan dikendalikan oleh EP Manufacturing Berhad (EPMB).
Pelancaran rasmi SoloEra juga dijadualkan pada bulan yang sama. Maklumat lanjut termasuk spesifikasi penuh, harga, risalah, serta laman web rasmi SoloEra akan diumumkan dalam masa terdekat.

Selepas MAS2025, orang ramai boleh melihat dengan lebih dekat model Solo 1, Solo 2 dan Solo 3 di bilik pameran dan pusat 3S Blueshark di Glenmarie, Shah Alam.
Pengenalan SoloEra selari dengan usaha nasional untuk memperluas penggunaan kenderaan elektrik dua roda (2WEV) serta menyokong peralihan ke arah mobiliti rendah karbon, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Peminat segala jenis kenderaan