EV ultra kompak BYD dikesan sedang diuji, sasar pasaran kei car Jepun


Laman CarNewsChina melaporkan BYD kini sedang membangunkan sebuah prototaip kenderaan saiz mini berkuasa elektrik dengan satu matlamat: untuk menawan pasaran kei car Jepun.
Walaupun masih sarat dengan pelekat samaran, kereta tersebut mempamerkan ciri-ciri seperti pintu belakang jenis gelangsar, tiang A berkembar, serta struktur perumah kaca tingkap yang agak tinggi.
Ini membuktikan BYD serius untuk menghasilkan sebuah produk yang mematuhi peraturan dimensi yang dikenakan untuk segmen kei car di sana.
Untuk makluman, segmen kei car merupakan kategori kereta saiz ultra-kompak di Jepun, dengan dimensi panjang tidak melebihi 3.4 meter, lebar 1.48 meter dan tinggi 2 meter.
Sementara kuasa enjin pula tidak melebihi 64 hp mengikut perjanjian ahli Persatuan Pengilang Automobil Jepun (JAMA).
Biarpun BYD kini mempunyai model Seagull selaku EV yang paling kecil, saiznya masih terlalu besar untuk dikategorikan sebagai kei car.
Menurut laporan dari China, ‘kei car’ elektrik BYD tersebut akan dilengkapi dengan bateri 20 kWh yang menawrakan jarak gerak sejauh 180 km (data WLTC), serta sokongan pengecasan pantas 100 kW.
BYD merancang untuk menghasilkan kei car elektrik ini di China untuk eksport ke pasaran Jepun bermula lewat 2026, dan berazam untuk menguasai 40 peratus pasaran kei car elektrik dalam tempoh beberapa tahun berikutnya.
Buat masa ini, pasaran kei car di Jepun menawarkan dua buah model EV, iaitu Nissan Sakura dan kembarnya Mitsubishi eK X EV.
Kedua-dua model tersebut dilancarkan pada tahun 2022, menawarkan motor elektrik berkuasa 64 hp dan 195 Nm, serta pek bateri 20 kWh dengan jarak gerak sejauh 180 km.

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.