Hyundai Tucson 2025 facelift dipertontonkan, pelancaran rasmi 2 Julai ini


Sebuah lagi model baru yang bakal dilancarkan secara rasmi oleh Hyundai Motor Malaysia (HMY) bulan depan ialah SUV segmen C Tucson 2025.
Berbeza dengan apa yang pernah ditawarkan sebelum ini oleh Hyundai Sime Darby, Hyundai Tucson 2025 merupakan versi facelift yang membawakan beberapa perubahan bersifat kosmetik.
Antaranya ialah jeriji hadapan Parametric Jewel yang menyembunyikan lampu nyalaan siang (DRL) yang lebih besar dimensinya, rim yang direka semula, serta bampar depan lebih bersegi.
Perubahan yang lebih ketara boleh dilihat pada ruang kabin, di mana susun atur telah diubah sepenuhnya.
Tucson 2025 facelift kini membawakan papan pemuka yang lebih kemas, dengan skrin berkembar 12.3 inci dalam satu panel melengkung, roda stereng tiga jejari tanpa logo H italik, serta panel 6.6 inci berasingan untuk kawalan iklim.
Di bahagian konsol tengah pula menempatkan slot pengecasan peranti tanpa wayar, serta ruang barangan yang lebih besar terima kasih kepada tuil penukaran gear yang telah dialih ke bahagian kolum stereng sebelah kanan.
Terdapat tiga varian Tucson yang bakal dilancarkan kelak, iaitu Style dengan enjin 2.0 liter (156 PS/192 Nm), serta Prime dan Prestige (4WD) yang dikuasakan oleh enjin 1.6 liter turbo (180 PS/264 Nm).
Terdapat juga pilihan enjin 1.6 liter turbo hibrid berkuasa 235 PS/367 Nm yang ditawarkan khusus untuk varian Prestige HEV.
Varian Style dan Prestige HEV itu tadi dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan, sementara varian Prime dan Prestige pula dibekalkan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.
Dari segi ukuran, Tucson 2025 membawakan dimensi sepanjang 4,640 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,665 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,755 mm.
Ciri keselamatan yang wujud pada Tucson 2025 termasuklah enam beg udara, sementara varian tertinggi Tucson pula didatangkan dengan kelengkapan Hyundai SmartSense yang merangkumi fungsi seperti Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA), Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA), Peringatan Penumpang Belakang (ROA), Bantuan Pengekalan Lorong (LKA), Bantuan Mengikut Lorong (LFA), Amaran Tumpuan Pemandu (DAW), Bantuan Pengelakan Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang (RCCA), sistem pemantauan titik buta dan paparan keliling 360 darjah.
Harga jualan hanya akan diumumkan secara rasmi pada acara pelancaran berlangsung 2 Julai ini.

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.