Honda CBR150R kini dengan liveri harimau istimewa – 250 unit terhad, harga RM14,399


Boon Siew Honda Sdn Bhd mengumumkan kemunculan penawaran edisi terhad Honda CBR150R Special Edition untuk pasaran tempatan.
Uniknya, ia kini menampilkan liveri harimau garang lengkap dengan tema warna CyberRoar yang menambahkan lagi imej agresif pada sportsbike 150 cc itu.
Setiap pembelian model edisi istimewa ini akan mendapat hadiah berupa kamera sport, peranti komunikasi intercom, dan juga beg reflektif LED.
Honda CBR150R Special Edition ini akan ditawarkan dalam 250 unit terhad menerusi pusat pameran Impian X bermula 15 Julai, setiap satu berharga RM14,399 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Sekiranya terlepas peluang, anda masih boleh dapatkan Honda CBR150R standard dengan pilihan warna Honda Tricolor dan Silver, setiap satu berharga RM13,399.
Spesifikasi asas jentera ini masih sama, ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 150 cc menghasilkan 16 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.7 Nm @ 7,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan serta klac assist & slipper.
Antara ciri lain termasuklah fork hadapan jenis terbalik, sistem brek cakera depan dan belakang, sistem ABS dua saluran, tangki bahan api 12 liter, sistem pencahayaan LED, dan meter digital penuh.
Untuk makluman, Honda CBR150R telah menerima penarafan keselamatan lima bintang daripada MyMAP.

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.