Hyundai Motor Malaysia lancar 3 model baharu – Staria, Tucson dan Santa Fe


Hyundai Motor Malaysia (HMY), entiti baharu yang mewakili jenama Hyundai di negara ini, menandakan kehadirannya ke pasaran dengan pelancaran tiga model terkini iaitu Staria, Tucson dan Santa Fe.
Ketiga-tiga model ini mencerminkan strategi Hyundai dalam memenuhi permintaan tempatan yang semakin meningkat untuk kenderaan keluarga yang moden dan padat dengan teknologi.
Hyundai Staria
Ditawarkan dalam tiga varian iaitu Style dan Prime (masing-masing 10 tempat duduk) serta Prestige (pilihan 7 atau 10 tempat duduk), Staria direka untuk memenuhi keperluan pelbagai gaya hidup, termasuk keluarga besar dan kegunaan korporat. Varian Prestige menampilkan kemasan krom loyang dan lampu projektor LED penuh.
Semua varian Staria dijana oleh enjin turbodiesel 2.2 liter CRDi yang menghasilkan 177 PS pada 3,800 rpm dan tork 430 Nm antara 1,500 hingga 2,500 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan yang memacu roda hadapan.
Ruang dalaman varian Prestige tujuh tempat duduk dilengkapi dengan dua bumbung suria, sistem audio premium 12-pembesar suara Bose, tempat duduk Premium Relaxation dan sistem kawalan suhu automatik dua zon.
Turut disertakan adalah paparan infotainmen bersaiz 8 inci serta pakej ciri keselamatan Hyundai SmartSense, yang merangkumi Forward Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, serta ciri-ciri tambahan Driver Attention Warning dan Leading Vehicle Departure Alert untuk varian Prestige.
Harga jualan Staria adalah seperti berikut:
- Style 10 tempat duduk – RM179,888
- Prime 10 tempat duduk – RM196,888
- Prestige 10 tempat duduk – RM209,888
- Prestige 7 tempat duduk – RM267,888
Hyundai Tucson
Tucson versi facelift ini membawakan reka bentuk yang dikemaskini serta pilihan hibrid buat kali pertama. Bahagian luaran menampilkan gril ‘parametric jewel’ dengan lampu siang LED terbina, serta lampu belakang dan bampar yang direka semula.
Tiga pilihan enjin disediakan iaitu petrol 2.0 liter Smartstream MPI dengan 156 PS dan 192 Nm digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan; 1.6 liter turbo petrol dengan 180 PS dan 264 Nm dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan; dan varian tertinggi, 1.6 liter turbo hibrid dengan gabungan kuasa 235 PS dan tork 367 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.
Bahagian dalaman menampilkan paparan digital melengkung 12.3 inci, pemilih gear elektronik jenis tuil di stereng, pengesahan cap jari, dan rekaan konsol terapung. Panel kawalan penyaman udara digital bersaiz 6.6 inci serta ruang simpanan praktikal turut disertakan.
Sistem bantuan pemandu Hyundai SmartSense disediakan dari varian Prime ke atas, dengan varian Prestige dilengkapi Surround View Monitor dan Blind Spot Monitor.
Harga Tucson adalah seperti berikut:
- Style 2.0 – RM143,888
- Prime 1.6 T-GDi – RM164,888
- Prestige 1.6 T-GDi AWD – RM186,888
- Prestige 1.6 T-GDi Hybrid – RM197,888
Hyundai Santa Fe
Kini dalam generasi kelimanya, Santa Fe menawarkan konfigurasi 6 atau 7 tempat duduk serta bukaan pintu but paling luas dalam rangkaian Hyundai, sekaligus menawarkan akses mudah ke ruang kargo belakang yang berkapasiti 628 liter.
Terdapat dua pilihan enjin iaitu turbo petrol 2.5 liter dengan 281 PS dan tork 440 Nm bersama transmisi dwi-klac lapan kelajuan dan pacuan AWD, dan turbo hibrid 1.6 liter dengan 235 PS dan 367 Nm yang digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan.
Kabin Santa Fe menampilkan paparan digital melengkung 12.3 inci, papan pemuka dengan elemen reka bentuk berbentuk-H, pencahayaan ambien, dan kemasan premium. Ciri praktikal yang tersedia termasuk dulang pembasmi kuman UV-C, pengecas wayarles berkembar, serta rekaan konsol pelbagai hala.
Ciri keselamatan Hyundai SmartSense dilengkapi pada semua varian, manakala varian Prestige dan Calligraphy hadir dengan Forward Collision-Avoidance Assist (FCA 1.5), Surround View Monitor dengan paparan 3D dan Remote Smart Parking Assist (RSPA).
Harga jualan Santa Fe adalah seperti berikut:
- HEV Prime 7 tempat duduk – RM225,000
- HEV Prestige 7 tempat duduk – RM245,000
- Calligraphy 6 tempat duduk – RM270,000

Peminat segala jenis kenderaan