TRAGEDI menimpa pelumba Moto3 Jason Dupasquier yang maut selepas terbabit dalam kemalangan pada sesi kelayakan Grand Prix Itali masih mengejutkan ramai pihak.
Kematian Dupasquier, 19, bukan sahaja memberi kesan kepada pelumba lain malah, menimbulkan rasa sedih kepada peminat sukan itu.
Rata-rata menyifatkan Dupasquier sebagai pelumba serba boleh selain mempunyai masa depan cerah dalam karier diceburinya.
Mengimbau kembali sejarah Dupasquier sebagai pelumba motosikal profesional, bakatnya mula menyinar selepas memenangi beberapa kejohanan Swiss SuperMoto.
Dupasquier kemudian menyertai Moto3 pada 2018 selepas menandatangani kontrak bersama pasukannya selama dua tahun.
Tiga tahun bergelar pelumba Moto3, Dupasquier menunjukkan prestasi terbaiknya pada perlumbaan di Sepanyol, Mei lalu.
Pada perlumbaan itu, Dupasquier berjaya menamatkan saingan di posisi ke tujuh dengan 27 mata keseluruhan.