SEORANG juruterbang Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) parah selepas jet pejuang jenis F-5 dikendalikannya terhempas, hari ini.
Insiden berlaku di daerah Chai Badan dekat Lopburi, Thailand.
Memetik laporan Bernama, jet pejuang terbabit terhempas semasa menjalani latihan kira-kira jam 11 pagi (waktu tempatan).
Jurucakap RTAF, Naib Marsyal Udara (AVM) Prapas Sornchaidee berkata, juruterbang terbabit berjaya melenting keluar tetapi mengalami kecederaan parah.
Pihak berwajib juga sedang giat melakukan siasatan penuh bagi mengetahui punca nahas.
Baru-baru ini, Malaysia juga dikejutkan dengan insiden nahas jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pesawat jenis Hawk 108 terhempas ketika melakukan latihan di Butterworth, Pulau Pinang pada 17 November lalu.
Seorang juruterbang maut sementara rakan setugasnya dilaporkan cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan susulan.
Juruterbang meninggal dunia dikenali sebagai Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala, Mejar Mohd Fareez Omar mengalami kecederaan.
Hans
Wartawan yang masih menabung demi sebuah Aventador