Harga bumbung Bugatti Chiron lebih mahal dari sebuah Toyota Supra baharu!

bugatti chiron

MEMILIKI sebuah Bugatti mungkin salah satu benda paling mewah yang boleh kita miliki. Kos penyelenggaraan tahunan biasa, sebagai contoh penukaran minyak enjin boleh mencecah USD25,000 (RM109,000).

Dan ini hanya jumlah kecil yang anda belanjakan setiap tahun bagi memastikan hypercar Perancis ini dalam keadaan tiptop. Kos-kos ini boleh melangit lagi jika berlaku kerosakan pada badannya.

Bayangkan anda tercalarkan bumbung Bugatti Chiron milik anda, dan anda tak mahu ke bengkel rasmi untuk ‘berjimat’ sedikit.

Satu pilihan ialah cat semula panel itu. Tetapi jika calarnya terlalu dalam, tiada pilihan lain selain menggantikannya. Dan kini terdapat ‘bengkel luar’ yang membekalkan bumbung Chiron jika anda mahu menggantikan unit yang tercalar tadi.

TheSupercarBlog berkongsi tentang suatu iklan di Instagram oleh SGR Automotive yang memaparkan bumbung Bugatti Chiron. Menurut penjualnya, bumbung itu merupakan unit OEM dan dalam keadaan sempurna.

Foto-foto menunjukkan bumbung yang memang masih cantik, berwarna biru tanpa sebarang kecacatan pada cat atau struktur gentian karbonnya.

Harus diingat juga bahawa untuk Chiron, bumbungnya lebih dari sekadar panel biasa untuk menutupi ruang kabin. Sebaliknya, ia berperanan penting sebagai struktur monocoque yang memberi kekuatan kepada keseluruhan kenderaan.

Senang cerita, sebarang kecacatan pada bumbung ini walaupun kecil, akan memberi kesan kepada pemanduan dan pengendalian Chiron.

Berapa harganya? SGR Automotive meletakkan harga USD55,000 (RM241,370) untuk panel bumbung itu. Ya, harga bumbung ini cukup untuk membeli sebuah Toyota Supra 2022 di Amerika Syarikat (harga Supra bermula pada kira-kira RM191,000).

Jika di Malaysia, bumbung Bugatti Chiron ini bersamaan harga sebuah BMW 320i, Volkswagen Golf GTi atau Volvo XC40 T5.

Berbaloi? Mestilah berbaloi. Lagipun kalau dah mampu memilik Bugatti Chiron, berapa lah sangat RM100k atau RM200k tu kan?

View Comments (435)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved