BMW 3-Series facelift 2022 kini dengan lampu dan gril baharu, OS 8, output sehingga 335hp/700Nm

WALAUPUN kini dalam zaman SUV, sedan BMW 3-Series tetap menjadi model paling penting untuk pengeluar Jerman ini. 3-Series G20 kini telah diberikan facelift dengan beberapa pembaharuan di luar dan dalam.
Pertamanya di luar, ia menampilkan rekaan lampu depan baharu dengan bentuk LED baharu, tiada lagi lekuk di bawah lampu seperti pada model semasa.
Gril kidney lebih lebar, manakala lubang udara di bucu bampar pula diberikan bentuk L baharu.
Bentuk yang sama juga terdapat di bampar belakang, sementara lampu belakang dikekalkan bentuknya tetapi sedikit lebih nipis. Rekaan panel hitam di belakang dilekapkan ke bawah dan terus menjadi perumah ekzos di kedua-dua sisi.
Kemaskini utama untuk G20 facelift adalah di bahagian dalam, dan ia agak signifikan. Terdapat satu skrin besar melintang yang melengkung, menempatkan panel instrumen untuk pemandu serta skrin infotainmen di tengah.
Pemandu mendapat skrin 12.3-inci untuk paparan maklumat pemanduan, manakala skrin infotainment di tengah berukuran 14.9-inci.
Tombol gear di konsol tengah diganti dengan penukar gear lebih kecil, dan sistem iDrive kini menggunakan OS 8. Menurut BMW, grafik dan struktur menu di dalamnya mirip dengan telefon pintar, dan ia turut menyokong fungsi arahan suara.
Ciri digital lain untuk pemandu dan penumpang termasuklah sistem navigasi BMW Maps, sambungan 5G sehingga 10 peranti, Android Auto, Apple CarPlay, ConnectedDrive dan kemampuan kemaskini over-the-air OTA.
Akhir sekali, kita pergi ke bahagian janaan kuasa. Terdapat tawaran agak meluas merangkumi pilihan petrol, diesel dan hibrid plug-in (PHEV). Ringkasan adalah seperti berikut:
– 318i: 2.0-liter turbo petrol 4-silinder, 154hp, 250Nm
– 320i: 2.0-liter turbo petrol 4-silinder, 181hp, 300Nm, pilihan AWD xDrive
– 330i: 2.0-liter turbo petrol 4-silinder, 241hp, 400Nm, pilihan AWD xDrive
– M340i xDrive: 3.0-liter turbo petrol 6-silinder, 369hp, 500Nm, sistem hibrid 48-volt
– 318d: 2.0-liter turbo diesel, 148hp, 320Nm
– 320d: 2.0-liter turbo diesel, 188hp, 400Nm, pilihan AWD xDrive
– 330d: 3.0-liter turbo diesel, 282hp, 650Nm, pilihan AWD xDrive
– M340d xDrive: 3.0-liter turbo diesel, 335hp, 700Nm
– 320e: 2.0-liter turbo petrol, 201hp, 350Nm
– 330e: 2.0-liter turbo petrol, 292hp, 420Nm, pilihan AWD xDrive
Kesemua janaan kuasa dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan. Untuk PHEV pula, ia dibekalkan dengan bateri lithium-ion 12kWh di bawah tempat duduk belakang.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.