Hayden Haikal pelumba muda negara kini buru kejuaraan antarabangsa pertama

PELUMBA muda negara, Hayden Haikal akan bersaing di perlumbaan Thailand Super Eco di Litar Antarabangsa Buriram Chang bagi mengejar kejuaraan antarabangsanya yang pertama.
Hayden yang berusia 18 tahun ini telah meraih dua kemenangan dan menduduki tempat ketiga sebanyak tiga kali selepas enam perlumbaan.
Beliau kini berada di kedudukan kedua keseluruhan di dalam kejuaraan tersebut dan hanya 20 mata di belakang pelumba Thai Na Dol Vatanatham yang mengumpul 105 mata.
Prestasi dan keputusan perlumbaan kedua-dua pelumba hampir sama namun Vatanatham mempunyai kelebihan satu kemenangan manakala Hayden gagal memperolehi sebarang mata selepas Honda Brio yang dipandunya mengalami masalah teknikal di pusingan kedua kejuaraan tersebut.
“Dari segi kiraan mata saya mempunyai peluang yang baik untuk bersaing memenangi kejuaraan keseluruhan Thailand Super Eco tetapi ini bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi berdepan dengan saingan yang begitu hebat,” kata Hayden.
“Saya akan menumpukan fokus sepenuhnya kepada kedua-dua perlumbaan hujung minggu ini,” katanya yang berazam membawa balik kejuaraan keseluruhan namun mengakui akan tetap berpuas hati sekiranya habis ditempat kedua memandangkan ini kali pertama beliau bersaing di perlumbaan antarabangsa.
Dua pusingan terakhir perlumbaan Thailand Super Eco melibatkan dua perlumbaan berasingan sebanyak 12 pusingan pada hari Sabtu dan Ahad (10 dan 11 Disember).
Seramai 23 pelumba akan bersaing dan Hayden merupakan satu-satunya wakil pelumba asing yang menyertai.
Walaupun berlumba di Thailand untuk kali pertama, prestasi Hayden begitu menyerlah apabila beliau secara konsisten menghabiskan setiap perlumbaan di tiga tempat teratas.
Perlumbaan Thailand Super Eco diadakan di litar jalan raya khas Bangsaen dan juga di Litar Antarabangsa Buriram Chang.
Berbekalkan pengalaman lima tahun berlumba di kejuaraan Vios Challenge di Malaysia, Hayden bagaimanapun tidak gentar apabila beliau memenangi tempat kedua pada perlumbaan pertama beliau di litar jalan raya Bangsaen pada bulan Jun.
Secara keseluruhan tahun ini turut membawa banyak kejayaan kepada Hayden yang turut bergelar juara keseluruhan kategori Super Sporting bagi pelumba-pelumba profesional di dalam Kejuaraan Vios Challenge, dan baru-baru ini menghabiskan perlumbaan Sepang 1000KM di tempat kedua keseluruhan.
“Saya tidak sangka yang saya akan berada di posisi untuk bersaing untuk kejuaraan keseluruhan Thailand Super Eco. Tujuan asal saya berlumba di Thailand adalah sekadar mencari pengalaman yang dapat saya gunakan untuk terus berkembang sebagai seorang pelumba.”
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.