Lotus Type 133 akan jadi sedan prestasi selepas 30 tahun

lotus type 133 – drivingelectric

Lotus Type 133 akan dilancarkan hujung tahun ini dan bakal menjadi sedan prestasi pertama mereka sejak Carlton yang diperkenalkan pada awal 1990-an. Jadi Lotus kembali ke segmen ini selepas kira-kira 30 tahun.

Gambar oleh: Autocar

Dengan panjang kira-kira lima meter, pesaing Porsche Taycan ini akan diposisikan sebagai model paling mewah dalam rangkaian Lotus. Type 133 kini dalam peringkat akhir pembangunannya. Prototaip ujian telah mula dilihat dengan camouflage manakala terdapat unit-unit yang telah dipasang di kilang Wuhan.

Type 133 menampilkan saiz serupa dengan Polestar 5, tetapi pengarah urusan Lotus, Matt Windle sebelum ini berkata walaupun terdapat perpindahan teknologi, Geely membenarkan jenama-jenama di bawahnya untuk membuat pembangunan secara bebas.

Ini bermakna Polestar 5 dan Lotus Type 133 tetap akan mempunyai perbezaan di aspek-aspek penting utama.

Gambar oleh: DrivingElectric

Dari imej-imej intipan, dapat dilihat Lotus Type 133 mempunyai penggayaan sleek dengan bumbung menurun ala coupe. Ia juga mendapat beberapa elemen rekaan dari Evija dan Eletre.

Lotus meletakkan fokus utama kepada pembangunan dinamik, memandangkan model ini akan berada dalam liga sama dengan Taycan dan Audi e-tron GT.

Type 133 akan didatangkan dengan teknologi casis sama dengan Eletre – termasuklah suspensi udara, stereng roda belakang, kawalan olengan aktif, aerodinamik aktif – tetapi dijuruterakan untuk profil yang sedikit berbeza.

Belum ada sebarang perincian teknikal didedahkan, tetapi ia dijangka mempunyai angka hampir serupa dengan Eletre. Ini bermakna model asasnya mungkin menawarkan kira-kira 602hp dari konfigurasi dwi-motor, sepadan dengan Taycan GTS.

Eletre varian tertinggi mempunyai motor di belakang yang lebih berkuasa, menjadikan output keseluruhannya 904hp.

Type 133 akan mengekalkan pek bateri 112kWh seperti Eletre, bermakna sedan sporti ini akan mendapat jarak pemanduan lebih 640km. Platform EPA ini juga membolehkan ia dicas pada kapasiti sehingga 420kW.

Mike Johnstone, wakil komersial Lotus memberitahu Autocar: “Jika anda lihat prestasi, kami akan berada di tempat yang bagus, dari segi pecutan dan pengendalian.”

Lotus sebenarnya belum mendedahkan nama rasmi sedan ini. Johnstone berkata ia akan mengikut tradisi Lotus dengan nama bermula huruf E. Ada laporan berkata ia akan dinamakan Envya, salah satu nama yang telah didaftarkan oleh Lotus.

View Comments (5)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved