Chery Omoda 7 bakal masuk pasaran awal 2025

KIRA-kira 1,100 km dari Beijing iaitu di Wuhu, Chery telah memperkenalkan model global Omoda yang kedua iaitu Omoda 7.
Seperti Omoda 5, Omoda 7 juga merupakan sebuah SUV dan menurut Chery, ia akan dilancarkan ke pasaran pada awal tahun hadapan.
Dari segi saiz pula, Omoda 7 seperti yang dijangka lebih besar berbanding adiknya dengan ukuran panjang 4,621 mm, lebar 1,872 mm, tinggi 1,673 mm, dengan jarak roda 2,700 mm.
Untuk perbandingan, Omoda 5 mempunyai ukuran panjang 4,400 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,588 mm, dengan jarak roda 2,630 mm.
Berbalik kepada Omoda 7, Chery dalam kenyataan berkata ia menampilkan bahasa reka bentuk “Stylish 360°” yang mengetengahkan siluet ala fastback untuk menarik minat golongan muda.
Antara elemen menarik yang boleh dilihat adalah gril parametrik dengan corak berbentuk heksagon, skema warna dua tona serta rekaan lampu yang tajam dengan grafik ‘Electric Energy’ pada bahagian belakang.
Di dalam, anda akan menemui stereng yang direka berdasarkan pengawal PlayStation 5 dan skrin berukuran 15.6 inci yang boleh diluncur dari bahagian tengah papan pemuka ke hadapan penumpang hadapan.
Sementara itu, tempat duduknya pula diinspirasikan daripada kerusi gaming dan dibalut kulit nubuck. Ciri-ciri lain termasuk sistem audio 12+2 pembesar suara yang menawarkan pengalaman audio seperti dewan konsert, fungsi arahan suara empat zon, sistem pewangi pintar dan sistem pembatalan bunyi ENC.
Memacu Omoda 7 adalah enjin TGDi 1.5-liter empat silinder dengan sistem hibrid plug-in. Perincian teknikal seperti kuasa dan tork tidak dinyatakan namun menurut Chery, trenkuasa ini mempunyai mod “penjimatan tenaga ekstrem” yang membolehkan ia mencapai jarak pandu sejauh 1,200 km dengan bateri dan tangki penuh.
Ciri bantuan pemandu dan keselamatan pula merangkumi 18 sistem ADAS, Auto Parking, dan enam beg udara. SUV ini juga dikatakan mempunyai ketegaran torsi (torsional stiffness) 25,000 N·m/degree.