Bentley Continental GT dapat enjin hibrid V8 dengan 782 PS, 1,000 Nm

BENTLEY Continental GT generasi keempat bakal diperkenalkan secara rasmi pada Jun depan dan tidak seperti sebelum ini, grand tourer mewah itu tidak akan menampilkan enjin V8 atau W12 tulen.
Sebaliknya, Continental GT akan tampil dengan trenkuasa baharu Bentley yang digelar sebagai Ultra Performance Hybrid. Apa yang menarik, trenkuasa ini menjadikannya model Bentley paling berkuasa pernah dihasilkan dalam sejarah syarikat itu.
Menurut Bentley, trenkuasa baharu itu menggabungkan enjin V8 baharu dan motor elektrik yang bekerjasama bagi menghasilkan kuasa keseluruhan mencecah 782 PS dan 1,000 Nm.
Angka tersebut lebih tinggi berbanding apa yang dimiliki oleh Batur iaitu 740 PS. Model itu dikuasakan oleh enjin 6.0-liter twin-turbo W12, yang akan dihentikan pengeluarannya pada tahun ini.
Selain itu, Continental GT juga dilengkapi dengan barisan teknologi casis terkini seperti Active All Wheel Drive dengan Torque Vectoring, kawalan stereng empat roda, Limited Slip Differential elektronik, Active Roll Control 48V dan peredam dengan injap berkembar.
Continental GT diperkenalkan buat pertama kali pada 2002, menandakan kelahiran semula jenama mewah British itu. Model ini memberikan impak dramatik terhadap nasib Bentely, dengan jualan tahunan meningkat dari sekitar 1,000 unit kepada 10,000 unit dalam tempoh empat tahun.
Model generasi kedua dilancarkan dengan enjin W12, dengan varian 4.0-liter V8 menyusul pada 2012. Enam tahun kemudian, model generasi ketiga muncul dengan platform, enjin, suspensi, seni bina, dan rekaan baharu.