China beri lampu hijau kepada 9 pengeluar untuk uji pemanduan autonomi Tahap 3

CHINA dilaporkan telah memberikan kebenaran kepada sembilan pengeluar kenderaan untuk menguji sistem pemanduan autonomi Tahap 3 di jalan raya awam.

Langkah ini dibuat kira-kira lapan bulan selepas kerajaan negara itu mengeluarkan garis panduan dan mula menerima permohonan dari syarikat-syarikat yang ingin menguji teknologi pemanduan autonomi mereka.

Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China mengesahkan bahawa kelulusan telah diberikan kepada Nio, BYD, Changan Auto, GAC, SAIC, BAIC BluePark, China FAW Group, SAIC Hongyan dan Yutong Bus.

Syarikat-syarikat ini akan dibenarkan untuk menguji kenderaan autonomi di jalan yang terhad, dengan pemandu dibenarkan untuk melepaskan tangan dari stereng.

Kenderaan separa autonomi Tahap 3 belum lagi dijual dalam pasaran China tetapi ujian ini akan membuka jalan untuk sistem sedemikian dilancarkan untuk pembeli individu dan pengendali fleet.

Menurut Reuters, terdapat sekurang-kurangnya 10 pengeluar kereta di China menjual kenderaan dengan sistem pemanduan autonomi Tahap 2, termasuk Huawei dan Xpeng.

Program ujian ini akan diselia oleh Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar, dan Kementerian Keselamatan Awam.

Perundangan baharu itu juga membolehkan Tesla untuk mula menawarkan sistem pemanduan separa autonominya di negara itu.

Sebelum ini, Elon Musk memberi bayangan bahawa jenama itu mungkin akan melancarkan robotaxi yang dilengkapi dengan teknologi Full Self Driving sebelum mula memperkenalkannya ke kereta milik persendirian. Wakil China dilaporkan terbuka kepada idea itu.

Walau bagaimanapun, sebelum itu berlaku, Tesla perlu mendapatkan kelulusan untuk mengumpul dan memindahkan data yang diperlukan oleh sistem autonominya.

Model 3 dan Model Y kini dibenarkan masuk ke bahagian tertentu di China selepas tidak dibenarkan berbuat demikian atas isu keselamatan data. Kebenaran itu diberikan selepas salah satu persatuan automotif terkemuka China mengesahkan yang Tesla mematuhi peraturan keselamatan data.