Hyundai Grandeur 2025 dapat kemaskini pakej serba hitam, Lane Keeping Assist 2

Hyundai Grandeur 2025 02

HYUNDAI Grandeur merupakan sedan eksekutif bertaraf flagship yang dijual di beberapa pasaran sahaja termasuk Korea Selatan dan Timur Tengah (di mana ia dikenali sebagai Azera).

Grandeur kini berada dalam generasi ketujuh dan untuk model tahun 2025, ia diberikan kemaskini yang melibatkan aspek reka bentuk dan kelengkapan.

Pertama sekali, sedan itu kini boleh didapati dengan Black Exterior Package yang membawakan kemasan warna gelap pada gril, logo dan rim aloi 20 inci.

Pakej berkenaan boleh digabungkan dengan warna luaran Abyss Black Pearl untuk penampilan serba hitam, atau dengan Serenity White Pearl bagi mereka yang gemarkan skema warna berkontras tinggi.

Dari segi kelengkapan, Grandeur mendapat ciri keselamatan baharu berupa Lane Keeping Assist 2 yang menawarkan sudut pandangan yang lebih luas untuk kamera depan, selain operasi Lane Centering yang lebih baik.

Selain itu, sistem kawalan iklim turut dipertingkatkan bagi membolehkan ia menyokong kemas kini Over-the-Air (OTA). Lebih menarik lagi, Hyundai turut menambah pemadam api di dalam kabin.

Turut disertakan adalah pencahayaan mood dan sistem amaran gegaran pada tuil gear yang terletak pada kolum stereng. Varian tertinggi iaitu Calligraphy pula mendapat paparan head-up dan upholsteri kulit Nappa baharu.

Di Korea, Grandeur ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin termasuk enjin turbo 1.6-liter empat silinder hibrid, enjin aspirasi natural (NA) 2.5-liter empat silinder dan enjin 3.5-liter V6 dalam versi petrol dan gas petroleum cecair (LPG).

Harga jualan bermula dari 37.68 juta won (RM129,510) untuk model 2.5-liter, sehingga 49.68 juta won (RM170,755) untuk varian Calligraphy dengan enjin 3.5-liter V6.

Sementara itu, versi petrol hibrid pula dijual pada harga 42.91 juta won (RM147,486) untuk varian Premium, 47.81 juta won (RM164,316) untuk Exclusive dan 52.44 juta won (RM180,228) untuk Calligraphy.

View Comment (1)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved