Toyota Hilux sel bahan api hidrogen kini masuk fasa ujian

PROJEK pembangunan Toyota Hilux sel bahan api hidrogen (FCEV), yang diumumkan buat pertama kali pada Disember 2022, kini memasuki fasa terakhir.
Menurut Toyota, sebanyak 10 prototaip Hilux FCEV telah dihasilkan di kilang Toyota Motor Manufacturing UK (TMUK) di Derby, England.
Lima daripadanya akan menjalani ujian lapangan bagi mendapatkan data dunia sebenar mengenai keselamatan, prestasi, kefungsian dan ketahanan, manakala lima lagi akan digunakan untuk demonstrasi pelanggan dan media termasuk di sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.
Saiz badan Hilux FCEV sama sahaja dengan versi standard, namun ia mempunyai ‘nadi’ Mirai yang menawarkan jarak pandu sehingga 600 km, lebih jauh berbanding apa yang mungkin dicapai oleh trenkuasa elektrik, dakwa Toyota.
Bukan itu sahaja, versi ini juga dikatakan mempunyai kapasiti muatan dan keupayaan menunda yang lebih tinggi berbanding alternatif sifar pelepasan yang lain.
Hidrogen disimpan di dalam tiga tangki bahan api bertekanan tinggi yang dipasang di dalam casis ladder frame trak itu. Setiap satu tangki mampu menyimpan sehingga 2.6 kg hidrogen, menjadikan kapasiti keseluruhan berjumlah 7.8 kg.
Terletak pada gandar hadapan adalah susunan sel bahan api (fuel cell stack) elektrolit polimer dengan 330 sel yang menghasilkan 174 PS, manakala pada gandar belakang pula terdapat sebuah motor elektrik yang menjana 182 PS dan 300 Nm.
Sementara itu, bateri litium ion yang berfungsi untuk menyimpan tenaga elektrik yang dihasilkan oleh sel bahan api, diletakkan di dalam bed belakang bagi menjimatkan ruang di dalam kabin.
Trenkuasa sel bahan api hidrogen merupakan salah satu daripada trenkuasa yang dibangunkan oleh Toyota sebagai sebahagian daripada strategi berbilang jalan (multi-pathway) yang diumumkan sebelum ini.
Syarikat itu menjangkakan Eropah akan menjadi salah satu pasaran sel bahan api hidrogen terbesar menjelang 2030. Oleh itu pada Disember tahun lalu, ia mengumumkan akan membangunkan kilang hidrogen Eropah bagi mempercepatkan pengkomersilan teknologi tersebut.