Ferrari akan terus hasilkan enjin V12 sehingga ia diharamkan

BUKANLAH satu rahsia bahawa Ferrari bertekad untuk terus menghasilkan enjin V12 selama mungkin. Malah, supercar terbaru dari Maranello pun diberi nama 12Cilindri sempena jumlah silinder yang ada padanya.
Bercakap kepada Car Expert, pengarah pemasaran produk Ferrari, Emanuele Carando memberi jaminan kepada peminat bahawa syarikat itu akan terus menghasilkan kereta dengan enjin 6.5-liter itu sehingga ia diharamkan.
“Kami akan menghasilkan V12 aspirasi natural sehingga undang-undang [tidak lagi] membenarkan kami. Kami berharap undang-undang pada masa depan akan terus memberikan peluang, mungkin dengan mengusahakan petrol baharu yang lebih mampan,” kata Carando.
Di dalam 12Cilindri Coupe dan Spider, enjin 6.5-liter V12 keluaran Ferrari boleh berputar sehingga 9,500 rpm sahaja namun secara teknikalnya enjin berkenaan mampu mencapai 10,000 rpm.
Menurut ketua program V12, Ruggero Cevolani, had putaran yang lebih rendah sengaja dipilih untuk memaksimumkan penghantaran kuasa untuk mengelakkan “kejatuhan dalam sensasi pecutan berterusan.”
Tambah beliau lagi, Ferrari pertama sekali adalah “syarikat kejuruteraan” dan sebab itulah prestasi menjadi keutamaannya.
Sebelum ini, ketua pereka Ferrari, Flavio Manzoni mengakui bahawa enjin V8 turbo lebih baik dari segi prestasi berbanding enjin V12. Bukan itu sahaja, beliau juga berkata bahawa enjin 12 silinder bukanlah enjin yang paling cekap.
Walau bagaimanapun, syarikat itu akan terus berjuang untuk enjin tersebut bagi memastikan ia hidup selama mungkin memandangkan ia lebih beremosi berbanding enjin-enjin yang lebih kecil.
Ferrari bukanlah satu-satunya jenama mewah yang masih berminat menghasilkan enjin V12. Aston Martin juga mempunyai hala tuju yang sama dengan model Vanquish akan datang yang dikatakan mempunyai enjin V12 twin turbo yang lebih berkuasa.