Leapmotor C16 dilancarkan di China, boleh pergi sehingga 1,095 km!

LEAPMOTOR, pengeluar kenderaan elektrik dari China yang bernaung di bawah Stellantis, telah melancarkan produk terbarunya iaitu sebuah SUV saiz pertengahan yang dikenali sebagai C16.
Dari luar, C16 kelihatan tidak begitu banyak berbeza dengan model global pertama Leapmotor iaitu C10, dengan lampu melintang pada bahagian depan dan belakang, dan pemegang pintu tersembunyi.
Walau bagaimanapun, ukuran model ini sedikit lebih besar iaitu panjang 4,915 mm (+176 mm), lebar 1,905 mm (+ 5mm) dan tinggi 1,770 mm (+90 mm). Ukuran tapak roda pula sama iaitu 2,825 mm.
Di dalam, C16 terus mengikut jejak langkah C10 dengan menampilkan rekaan minimalis. Berada di hadapan pemandu adalah panel instrumen 10.25 inci, manakala papan pemuka didominasi oleh skrin sentuh 14.6 inci yang dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8925.
Di sini, C16 boleh dibezakan menerusi konfigurasi tempat duduk 2-2-2. Barisan kedua menampilkan kerusi kapten dengan pelarasan elektrik yang membolehkan ia dibaringkan sehingga 145 darjah, serta fungsi pemanas dan ventilasi.
Sementara itu, kerusi barisan ketiga boleh dibaringkan sehingga 10 darjah serta mempunyai perehat tangan dengan ukuran lebar 120 mm. Menurut Leapmotor, ukuran ruang kepala di barisan ini adalah 947 mm.
Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk skrin infotainmen belakang berukuran 15.6 inci, sistem audio premium dengan 21 pembesar suara, pendingin hawa dua zon (tiga zon untuk varian lebih tinggi) dan pengecas wayarles 15W.
Untuk keselamatan, C16 didatangkan dengan Pilot Intelligent Driving Assistance System yang merangkumi sebanyak 30 penderia untuk mencapai swapandu tahap 3.
Seperti C10, C16 boleh didapati dengan trenkuasa elektrik atau hibrid range extender. Versi EV dilengkapi dengan bateri LFP berkapasiti 67.7 kWj yang menawarkan jarak pandu sehingga 520 km.
Ia juga mempunyai motor elektrik yang menjana 292 PS dan 360 Nm, membolehkan SUV ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.4 saat.
Sementara itu, versi hibrid range extender menampilkan gabungan enjin 1.5 liter, pek bateri 28.4 kWj dan motor elektrik gandar belakang dengan 231 PS dan 320 Nm. Versi ini dikatakan mempunyai jarak gerak sehingga 200 km dengan kuasa elektrik sahaja atau sehingga 1,095 km dengan bantuan enjin.
Di China, C16 ditawarkan dalam enam varian kesemuanya (tiga untuk versi EV, tiga lagi untuk range extender) dengan harga bermula dari 155,800 hingga 185,800 yuan (RM101,067-RM120,528).