Ducati Panigale V4 2025 didedahkan – Sistem ekzos perlumbaan, tiada lagi single-swingarm

DUCATI telah mendedahkan Panigale generasi ketujuh baharu di acara World Ducati Week di Misano, Itali. Superbike ikonik itu diperbaharui dari segi kosmetik, prestasi, dan teknikal.
Rupa bentuknya mendapat pakej aero baharu dengan seretan empat peratus lebih rendah, dan gaya dari 916 dan 1098.
Tiada lagi swingarm sebelah yang menjadi identiti jentera itu sejak 2018. Ia kini diganti dengan lengan di kedua-dua sisi tetapi dihasilkan dari aluminium shell-cast dengan lubang besar untuk menayang rim 17-inci di belakang.
Suspensi baharu ini juga mengurangkan lateral stiffness sebanyak 37 peratus dan sekaligus menambah baik cengkaman dan feel penunggang semasa memecut keluar selekoh. Sistem ini juga 3.8kg lebih ringan.
Berbalik kepada penggayaan, lampu depan yang garang telah tiada, kini diganti dengan rekaan lebih tirus seperti Desmosedici-RR. Cermin juga dipasang pada fairing depan dengan fungsi lebih mudah jika anda mencabutnya semasa track day.
Bahagian ekor pula dipanjangkan sedikit untuk mengelakkan keperluan menggunakan nombor plat panjang. Ini juga memberikan lebih ruang untuk penunggang memposisikan badan semasa menukar arah di litar.
Nadi kepada Panigale baharu ini ialah enjin 1,103cc Desmosedici Stradale V4 yang mempunyai penarafan Euro5+ dan 1kg lebih ringan dari sebelumnya.
Enjin ini juga mempunyai crankshaft dengan pusingan berlawanan untuk mengurangkan inertia, dan kuasa puncak kini dicapai pada 500rpm lebih tinggi. Output kini 224.9hp dan 124Nm tork, hasil dari sistem ekzos Akrapovic yang juga 6.6kg lebih ringan.
Sistem suspensi pula adalah dari Ohlins dengan fork NPX-30 dan penyerap hentak TTX 36. Sementara itu rim menggunakan aluminium, dibaluti tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP V4.
Panigale 2025 ini dibekalkan dengan brek Brembo Hypure dengan cakera 330mm.Ciri lain termasuklah paparan TFT berwarna 6.9-inci, sistem IMU enam-paksi, Traction Control, Wheeli Control, Launch Control, Quickshifter, dan sistem brek Race eCBS.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.