10 kereta konsep yang sepatutnya jadi model produksi

Mazda Furai

Pengeluar kenderaan menunjukkan rekaan dan teknologi yang mungkin akan diperkenalkan pada masa depan menerusi kereta konsep.

Bergantung kepada banyak faktor, selalunya kewangan dan pasaran, ada kereta konsep yang berjaya direalisasikan menjadi model produksi dan ada yang tidak.

Berikut adalah 10 kereta konsep yang sepatutnya dijadikan model produksi:

Lamborghini Estoque

Penulis pasti ramai peminat tegar Lamborghini yang meletakkan poster Estoque pada dinding bilik mereka. Direka sebagai pesaing Porsche Panamera dan Aston Martin Rapide, Estoque tampil dengan badan coupe empat pintu yang cukup mengagumkan dan enjin V10 dari Gallardo. Sayangnya projek ini dibatalkan disebabkan keadaan pasaran yang tidak menentu ketika itu.

Yamaha OX99-11

Kereta konsep ini mengumpulkan semua teknologi dan pengetahuan Yamaha yang diperolehi selama bertahun-tahun sejak ia membantu Toyota mengeluarkan 2000GT pada 1967. Ia mempunyai enjin 3.5-liter V12 yang boleh mencapai 10,000 rpm dan konfigurasi tempat duduk seperti motosikal. Yamaha terpaksa membatalkan rancangannya untuk menjual OX99-11 pada 1994 akibat kemelesatan ekonomi.

Saab Aero-X

Aero-x adalah kereta konsep yang agak menarik, dengan enjin twin-turbo V8 yang menghasilkan 400 hp dan transmisi manual tujuh kelajuan. Kanopi ala pesawatnya menarik perhatian ramai di Geneva Motor Show 2006 namun bos Saab ketika iaitu Victor Muller berkata menjadikan ia Aero-X bukan keutamaan syarikat itu.

Nissan IDx

Kira-kira 11 tahun yang lalu, Nissan mendedahkan rancangannya untuk membangunkan kereta coupe pacuan roda belakang mampu milik menerusi konsep IDx. Namun dengan pasaran yang kecil dan pelbagai faktor lain, pengganti Datsun 510 yang ikonik itu hanya kekal sebagai kereta konsep sehingga ke hari ini.

Hyundai N Vision 74

Jarang-jarang penulis mahu kereta konsep Hyundai dijadikan model produksi namun N Vision 74 ini terlalu menarik untuk diabaikan. Kereta konsep ini menampilkan rekaan moden retro dengan sel bahan api hydrogen yang boleh menjana 671 hp.

Chrysler ME Four-Twelve

Percaya atau tidak, kereta konsep ini dihasilkan oleh syarikat sama yang menghasilkan PT Cruiser. ‘ME’ bermaksud ‘Mid-Engine’ Four-Twelve iaitu 4 dan 12 merujuk kepada bilangan pengecas turbo dan silinder enjin. Krisis kewangan global menjadikannya tidak lagi relevan.

Mitsubishi Concept-RA

Diperkenalkan  North American International Auto Show (NAIAS) pada Januari 2008, Concept-RA merupakan sebuah coupe sport dengan pacuan semua roda namun ia agak unik jika dibandingkan dengan kenderaan lain dalam kelasnya kerana ia mempunyai enjin diesel. Bukan itu sahaja, panel badannya yang menggelembung itu diperbuat daripada resin plastik.

Lotus Eterne

Pada acara Paris Motor Show 2010, Lotus dengan bangganya mempamerkan lima kereta konsep. Namun satu pun tidak berjaya memasuki fasa produksi. Salah satu daripada kereta tersebut adalah Eterne, sebuah gran touer empat pintu dengan enjin supercharged 5.0-liter V8.

Maserati Birdcage

Kereta konsep ini direka oleh Pininfarina dan mengambil inspirasi darinya kereta lumba Tipo 63. Ia mempunyai rangka gentian karbon dari MC12 dan enjin V12 yang menghasilkan 700 hp. Oleh kerana ia tidak mempunyai pintu, pemandu perlu membuka bumbung untuk masuk ke dalam. Patut lah tak masuk produksi.

Mazda Furai

Furai, yang bermaksud ‘Bunyi Angin’, dibangunkan sebagai asas untuk kereta lumba yang sah dipandu di jalan raya. Ia mempunyai ‘nadi’ rotary tiga rotor yang hanya meneguk etanol untuk menghasilkan 450 hp. Apa yang terjadi kepadanya? Pada 2008, ia hangus terbakar semasa sedang dipandu uji oleh Top Gear.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved