Sah: Honda, Nissan, dan Mitsubishi bergabung

SEBELUM ini, kami ada menyiarkan berita bahawa trio dari Jepun – Honda, Nissan, dan Mitsubishi – akan bergabung. Kini, perkara ini telah disahkan. Rasmi.
Pakatan Honda-Nissan yang diumumkan pada Mac lepas kini diperluaskan dengan penyertaan Mitsubishi. Mereka akan bergabung bagi membincangkan cara terbaik untuk bekerjasama membina kenderaan elektrik (EV) dan perisiannya.
Takao Kato, Representatibe Executive Officer, Presiden, dan CEO Mitsubishi Motors berkata: “Perbincangan Nissan dan Honda untuk kemungkinan kerjasama telah bergerak, dan kami mengambil keputusan menyertai gerak kerja ini.
“Kerjasama dengan rakan kongsi adalah penting dalam industri automotif hari ini yang melalui perubahan pantas disebabkan inovasi teknologi seperti elektrifikasi dan kebijaksanaan.
“Kami percaya dapat meneroka kemungkinan baharu dalam pelbagai bidang melalui kerjasama ini dengan tiga syarikat.”
Dalam perkembangan berkaitan, Nissan dan Honda akan menggabungkan dana untuk pembangunan perisian teknologi pemanduan autonomi, ketersambungan, dan AI (artificial intelligence).
Kerjasama ini juga akan merangkumi pembangunan gandar yang dipacu oleh bateri dan elektrik dengan perkongsian motor dan inverter.
Ini bukan kali pertama syarikat-syarikat Jepun bergabung tahun ini. Beberapa bulan lepas, Toyota, Mazda, dan Subaru juga membuat persidangan bersama untuk komitmen berpanjangan mereka terhadap enjin pembakaran.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.