Ferrari 550 restomod oleh Touring Superleggera buat kemunculan di Monterey Car Week

touring superlegera veloce12 01

RESTOMOD menjadi satu pendekatan modifikasi yang popular sejak akhir-akhir ini dalam kalangan kereta sports premium.

Terbaharu, Ferrari 550 Maranello telah diberikan modifikasi restomod oleh Touring Superleggera dan ditayangkan kepada umum di Monterey Car Week. Kami boleh katakan, ia cukup cantik dan moden tetapi pada masa yang sama, mengekalkan ciri-ciri asli Ferrari 550.

Dinamakan Veloce12, jentera asal ini telah ditanggalkan semua komponen sehingga tinggal tulangnya sahaja, kemudian casis diperkukuhkan, dan badan direka semula.

Enjin asal 5.5-liter V12 naturally-aspirated juga ditala semula, kini menghasilkan 503hp dan 568Nm tork, iaitu 25hp lebih dari 550 asal. Paling menarik ialah ia dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan.

Dengan naik taraf ini, Veloce12 hanya memerlukan 4.4 saat untuk mencapai 100km/j. Kelajuan maksima pula ialah 320km/j.

Ia mendapat brek Brembo berprestasi tinggi, cakera brek 380mm dengan enam piston di depan dan empat piston di belakang, dan sistem suspensi boleh-laras dari TracTive.

Bahgian kabin pula mendapat kemasan kulit mewah yang dibuat dengan tangan manakala tombol dan butang-butang diperbuat dari kemasan mesin. Tiada paparan skrin sesentuh dapat dilihat.

Touring berkata semua bahan adalah dari Itali, dan memandangkan Veloce12 ialah sebuah grand tourer, ia juga dilengkapi dengan tempat duduk kustom yang direka khas untuk keselesaan perjalanan jauh.

Seperti dijangka, jentera restomod sebegini tidak murah. Touring berkata harganya bermula pada USD758,000 (RM3.3 juta), dan ini tidak termasuk kos Ferrari 550 asal. Hanya 30 unit dirancang untuk dikeluarkan dan unit pertama bakal keluar pada awal 2025 nanti.

View Comments (14)

Comments are closed

"

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved