Toyota akan terus hasilkan GR Supra, tidak akan ikut jejak langkah BMW Z4

Beberapa bulan yang lalu, media automotif antarabangsa melaporkan bahawa BMW akan berhenti menghasilkan Z4 selepas Mac 2026. Berita ini membuatkan peminat kepada kembarnya iaitu Toyota GR Supra tidak senang duduk. Adakah Toyota akan mengikut jejak langkah BMW?
Nampaknya peminat GR Supra kini boleh menarik nafas lega kerana dalam perkembangan terbaru, Toyota nampaknya akan terus menawarkan kereta sport itu sekurang-kurangnya untuk satu generasi lagi.
Bercakap kepada CarExpert, naib presiden jualan, pemasaran dan operasi francais Toyota Australia, Sean Hanley berkata tanggapan bahawa Supra akan dihentikan adalah spekulatif semata-mata.
“Tiada rancangan untuk menghentikan jenama Supra dalam syarikat kereta ini. Saya tahu itu. BMW bukan Toyota.”
“Dan, terus terang, saya tidak menjangka bahawa jenama Supra akan hilang. Sama sekali,” ujar Hanley.
Tambah beliau lagi, Supra mempunyai sejarah yang panjang, sekali gus menjadikannya model yang penting dalam rangkaian model GR.
Selain GR Supra, rangkaian model GR turut terdiri daripada GR Yaris, GR Corolla dan GR86.
Ini satu perkembangan yang menarik kerana seperti yang kita semua tahu, Z4 dan GR Supra dibangunkan secara bersama oleh BMW dan Toyota. Kedua-duanya juga dipasang oleh Magna Steyr di kilang yang terletak di Graz, Austria.
Jika BMW menghentikan pengeluaran Z4, ini bermakna Toyota perlu mencari rakan teknikal baharu untuk membangunkan GR Supra generasi seterusnya. Anda rasa, siapakah ‘calon’ yang paling sesuai untuk projek yang mengujakan ini?