Suzuki Swift 2024 hanya terima satu bintang dalam ujian ANCAP

Di Eropah, Suzuki Swift model tahun 2024 mendapat penarafan tiga bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP).
Namun lain pula ceritanya di Australia apabila hatchback itu diberikan penarafan satu bintang sahaja dari Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) selepas prestasi buruk dalam ujian pelanggaran yang dijalankan oleh badan itu.
Swift generasi keempat itu mendapat 47% dalam kategori Perlindungan Penumpang Dewasa, 59% dalam Perlindungan Penumpang Kanak-kanak, 76% dalam Perlindungan Pengguna Jalan Raya dan 54% dalam Bantuan Keselamatan.
Menurut ANCAP, Suzuki Australia sebelum ini telah menyatakan bahawa Swift yang dijual di Australia dan New Zealand berbeza secara fizikal dengan unit pasaran Eropah.
“Berbanding dengan penarafan tiga bintang yang dicapai oleh Swift yang dijual di Eropah, unit yang dijual di Australia dan New Zealand menunjukkan prestasi yang berbeza apabila diuji.
“Reka bentuk beberapa elemen struktur dan sekatan dalam Swift yang dijual dalam pasaran tempatan nampaknya tidak mempunyai keteguhan yang membawa kepada variasi dalam prestasi kemalangan,” kata Carla Hoorweg, ketua pegawai eksekutif ANCAP.
Laporan ANCAP berkata bahawa perbezaan prestasi antara Swift Australia/NZ dan Eropah boleh dilihat dalam ujian pelanggaran offset hadapan dan full-width.
Ujian pelanggaran offset hadapan menunjukkan terdapat beban dada dan risiko kecederaan kaki yang lebih tinggi kepada pemandu, manakala dalam ujian pelanggaran full-width pula, ukuran mampatan dada penumpang belakang jauh lebih tinggi dan melebihi had yang dibenarkan.
Oleh itu, Swift diberikan penilaian Lemah (Poor) dan markah sifar untuk perlindungan dada, iaitu bahagian badan yang kritikal.
Selain itu, penilaian Lemah juga dicatatkan untuk kepala dan dada patung kanak-kanak dalam senario ujian pelanggaran hadapan (head-on) dan sisi. ANCAP berkata 59% untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak adalah markah yang paling rendah setakat ini.
Swift merupakan model terbaru yang memasuki pasaran Australasian yang mempunyai penarafan keselamatan yang berbeza dengan model pasaran Eropah, selepas Honda Civic, CR-V dan ZR-V.