Alfa Romeo batal hasrat jual EV sahaja menjelang 2027

Nampaknya semakin lama semakin banyak pengeluar mula menyedari yang pendekatan EV sahaja mungkin bukan strategi terbaik untuk jangka masa panjang.
Terbaru, Alfa Romeo dilaporkan telah membuat pusingan U berhubung hasratnya untuk menjual EV sahaja menjelang 2027.
Pengeluar dari Itali itu menyertai jenama-jenama seperti Audi, Lotus, Mercedes-Benz, Porsche dan Volvo dalam membuat keputusan berkenaan berikutan penurunan permintaan dan saingan hebat daripada jenama-jenama China.
Bercakap kepada Automotive News, ketua Alfa Romeo Amerika Utara, Chris Feuell mengakui sukar untuk rangkaian pengedar Alfa Romeo di Amerika Syarikat untuk bertahan dengan portfolio yang terdiri daripada kenderaan elektrik bateri (BEV) sahaja.
Sebagai ganti, Alfa Romeo akan mengamalkan strategi “berbilang tenaga” yang dimuktamadkan baru-baru ini. Strategi ini merangkumi gabungan trenkuasa petrol, hibrid dan elektrik.
“Perkara terbesar dalam peta jalan produk dan teknologi kami ialah beralih daripada strategi BEV sahaja kepada strategi berbilang tenaga,” kata Feuell.