BMW akan bawa anda bertemu Valentino Rossi jika anda beli M4 CS Edition VR46

Optimized by JPEGmini 3.18.17.230722883-YEV 0x7e58e72a

Tahun ini merupakan tahun yang istimewa untuk Valentino Rossi kerana pada 16 Februari lalu, lagenda MotoGP yang kini merupakan pelumba pasukan BMW M itu menyambut hari jadinya yang ke-46.

Bagi meraikannya, BMW memperkenalkan model eksklusif M4 CS Edition VR46 yang direka sendiri oleh The Doctor. Ia boleh didapati dalam dua versi iaitu Sport dan Style, dan setiap versi dihadkan kepada 46 unit sahaja.

Apa yang membezakan antara M4 CS Edition VR46 dan versi standard? Pertama sekali, ia menampilkan cat BMW Individual yang diilhamkan daripada tona kegemaran dan gaya ekspresif Rossi.

Versi Sport didatangkan dalam warna Marina Bay Blue metalik dengan nombor ’46’ bersaiz besar dalam warna Tanzanite Blue metalik. Versi Style pula sedikit berbeza, dengan badan berwarna Frozen Tanzanite Blue metalik dan nombor ’46’ dalam warna Frozen Marina Bay Blue.

Sudah tentu, Rossi bukanlah Rossi tanpa warna kuning terang. Untuk jentera ini, warna tersebut boleh didapati pada bingkai gril, salah satu jejari V pada rim, angkup brek dan juga pada bingkai tingkap sisi pada versi Sport. Bumbung gentian karbon pula dihiasi dengan logo VR46 dan tandatangan Rossi, juga dalam warna yang sama.

Penggunaan warna kuning itu tidak terhenti di situ. Ruang dalaman, yang sebahagian besarnya berwarna Night Blue, diserlahkan lagi dengan trim Sao Paulo Yellow pada tempat duduk bucket M Carbon. Stereng pula dibalut Alcantara dan diberikan jahitan dan penanda jam 12 berwarna kuning.

Akhir sekali, setiap unit M4 CS Edition VR46 didatangkan dengan lencana nombor siri pengeluaran pada konsol tengah.

Tiada sebarang penambahbaikan dari segi mekanikal kerana M4 CS memang sudah cukup laju. Di bawah bonetnya adalah enjin 3.0-liter twin-turbo enam silinder sebaris yang ditala bagi menghasilkan 550 PS dan 650 Nm.

Dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan yang memacu keempat-empat roda menerusi pacuan semua roda M xDrive, M4 CS boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 302 km/j.

Harga model eksklusif ini tidak didedahkan namun apa yang menarik, kesemua 92 individu bertuah yang dapat membelinya akan dijemput untuk menyertai pengalaman eksklusif seumur hidup selama dua hari di Itali.

Pada hari pertama, pelanggan akan menikmati BBQ bersama The Doctor di VR46 Motor Ranch di Tavullia, manakala pada hari kedua, mereka akan dibawa ke Misano World Circuit Marco Simoncelli untuk menyertai BMW M Driving Experience di mana mereka dapat memandu model-model terkini BMW M.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2025 © ENGEAR TV | All Rights Reserved