Kami akan terus hasilkan enjin V8 dan V12 – Mercedes-Benz

Ini berita baik untuk peminat enjin V8 dan V12 daripada AMG. Dalam persidangan tahunan yang diadakan baru-baru ini, Mercedes-Benz mengumumkan yang ia akan kekal menawarkan enjin-enjin berkenaan.
Bagi enjin V12, pengeluar dari Jerman itu merancang untuk terus menghasilkan enjin tersebut untuk jangka masa panjang namun untuk pasaran tertentu sahaja.
Ini tidak menghairankan kerana pada masa ini, hanya satu model Mercedes yang menggunakan enjin 12 silinder tersebut iaitu Maybach S680. Dengan sesaran 6.0-liter dan dua pengecas turbo, enjin itu menjana 612 PS dan 900 Nm.
Dalam trio jenama mewah Jerman, Mercedes menjadi jenama terakhir yang mengekalkan enjin 12 silinder dalam barisannya. Kali terakhir BMW mempunyai model V12 adalah pada 2022 menerusi M760i, manakala Audi pula keluar dari segmen ini pada 2017 dengan A8 yang dikuasakan enjin W12.
Seterusnya, Mercedes berkata ia sedang membangunkan enjin V8 baharu yang dielektrifikasi untuk model-model yang menggunakan platform AMG.EA. Enjin ini dibangunkan bagi mematuhi piawaian emisi Euro 7 yang lebih ketat.
Tidak pasti sama ada ia akan diberikan kepada C63 generasi seterusnya namun melihat kepada respons hambar terhadap model empat silinder hibrid semasa, ia nampak seperti idea yang bernas.
Syarikat itu tidak menyebut apa-apa tentang enjin enam silinder sebaris yang digunakan oleh S580e dan CLS53, jadi rasanya tidak keterlaluan jika kita anggap yang ia akan dikekalkan.
Untuk enjin empat silinder pula, CLA generasi baharu yang akan diperkenalkan bulan depan akan tampil dengan enjin hibrid 1.5-liter 48v yang dipadankan dengan transmisi DCT lapan kelajuan.