Volkswagen ID.Every1 adalah EV mampu milik berharga RM96k

Volkswagen mengesahkan bahawa ia akan memasuki segmen EV entry-level tidak lama lagi menerusi pengenalan ID.Every1, model terkecil dalam barisan ID.
Model ini masih lagi dalam peringkat konsep namun ia secara asasnya sudah sedia untuk menerjah pasaran. Volkswagen berkata versi produksi akan dilancarkan pada 2027, dengan harga bermula sekitar 20,000 euro (RM95,555).
Selain ID.Every1, syarikat itu berkata ia juga akan memperkenalkan ID.2all yang berharga sekitar 25,000 euro (RM119,461) pada 2026.
Kedua-dua model ini merupakan sebahagian daripada barisan Electric Urban Car Volkswagen yang menggunakan platform pacuan elektrik modular MEB dengan pacuan roda hadapan.
ID.Every1 menggantikan e-up! yang jualannya dihentikan pada 2023. Dari segi saiz, ia 280 mm lebih panjang daripada e-up! dengan ukuran 3,880 mm. Ukuran tinggi adalah 1,490 mm manakala lebar mencecah 1,816 mm.
Sudah tentu, rekaan yang anda lihat ini bukan versi akhir yang akan memasuki fasa produksi. Jangkakan perubahan pada beberapa bahagian seperti cermin sisi, pemegang pintu dan rim.
Ia mungkin nampak kecil tetapi kereta ini cukup besar untuk empat penumpang, dan ruang but berkapasiti 305 liter. Rekaan ruang kabin nampak futuristik namun tiada apa yang unik jika dibandingkan dengan kebanyakan EV dalam pasaran sekarang, dengan skrin infohibur besar, paparan kecil untuk pemandu dan konsol tengah yang rendah.
Menurut Volkswagen, ID.Every1 bakal menjadi model pertama dalam Kumpulan Volkswagen yang menggunakan seni bina perisian baharu yang membolehkan kenderaan dikemas kini dan dinaik taraf sepanjang hayatnya.
ID.Every1 dikuasakan oleh sebuah motor elektrik baharu yang mampu menjana 95 PS (70 kW), membolehkan EV kecil itu mencapai kelajuan maksimum 130 km/j.
Kapasiti bateri tidak didedahkan namun Volkswagen mendakwa kereta ini boleh mencapai sekurang-kurangnya 250 km.