Volvo ES90 didedahkan, boleh dipandu sejauh 700 km dengan satu cas

Ini dia, kenderaan elektrik keenam dalam barisan model Volvo iaitu ES90. Seperti EX90 yang diperkenalkan hampir tiga tahun lalu, ES90 merupakan model flagship yang bermakna ia sarat dengan pelbagai ciri dan teknologi termaju.

Namun sebelum itu, perhatikan dahulu bentuknya. Volvo tidak menyatakan secara jelas sama ada ES90 merupakan sebuah sedan, fastback atau pun SUV namun menurut syarikat itu, ia menggabungkan kualiti-kualiti terbaik daripada ketiga-tiga jenis badan itu.

Wajah ES90 agak mirip dengan EX90 dan EX30, menampilkan lampu utama berbentuk tukul Thor, simbol Iron Mark pada bahagian tengah dan bukaan kecil pada bahagian bawah bampar.

Di belakang, anda akan nampak lampu berbentuk C yang tidak jauh berbeza dengan lampu belakang kedua-dua model EX yang lain itu. ES90 tidak mempunyai pintu but seperti sedan konvensional, sebaliknya ia didatangkan dengan tailgate hatch yang menawarkan bukaan lebih luas.

Tailgate hatch berkenaan memberikan akses kepada ruang but seluas 424 liter, atau 733 liter jika tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya. Jika anda perlukan lebih banyak ruang, kereta ini juga mempunyai frunk 22 liter yang boleh memuatkan kabel pengecas.

Untuk bahagian dalaman, tidak mengejutkan yang ES90 mengikuti jejak langkah EX90 dengan mengenengahkan konsep minimalis. Elemen utama di sini adalah skrin 14.5 inci dengan sistem infohibur Google yang membolehkan pemandu menggunakan Maps, Assistant serta pelbagai lagi aplikasi lain yang boleh didapati menerusi Google Play.

Selain itu, model ini juga didatangkan dengan paparan digital pemandu berukuran sembilan inci, head-up display, sistem pencahayaan ambien dengan enam tema warna, sistem pendingin hawa empat zon dan bumbung panoramik dengan fungsi electrochromic.

Untuk sistem audio, Volvo menawarkan tiga peringkat, termasuk sistem Bowers & Wilkins dengan 25 pembesar suara (termasuk pada perehat kepala dan siling) untuk peringkat tertinggi. Sistem audio ini juga mempunyai mod khas untuk meniru kualiti audio Abbey Road Studios di London.

ES90 dibina di atas platform SPA2 dan merupakan kereta Volvo pertama yang menggunakan seni bina 800V. Terdapat tiga rangkaian kuasa yang boleh dipilih iaitu Single Motor, Twin Motor dan Twin Motor Performance.

Seperti namanya, Single Motor didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang. Motor tersebut menjana 333 PS (245 kW) dan 480 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.9 saat.

Versi Twin Motor pula mempunyai dua motor elektrik yang menjana 177 PS (130 kW)/265 Nm pada gandar hadapan dan 272 PS (200 kW)/405 pada gandar belakang. Dengan kuasa keseluruhan berjumlah 449 PS dan 670 Nm, ia memerlukan 5.5 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j.

Twin Motor Performance juga mempunyai sepasang motor elektrik tetapi ia telah ditala bagi menghasilkan 299 PS (220 kW)/390 Nm pada gandar hadapan dan 381 PS (280 kW)/480 Nm pada gandar belakang. Ini memberikannya kuasa keseluruhan sebanyak 680 PS dan 870 Nm, yang membolehkan ES90 melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.0 saat.

Untuk bateri, versi Single Motor didatangkan dengan bateri 92 kWj yang memberikan jarak gerak 650 km berdasarkan kitaran WLTP. Twin Motor dan Twin Motor Performance pula dikatakan boleh dipandu sejauh 700 km dengan satu cas penuh dengan adanya bateri 106 kWj.

Versi Single Motor menyokong pengecasan pantas sehingga 300 kW, manakala Twin Motor dan Twin Motor Performance boleh menampung sehingga 350 kW. Masa pengecasan dari 10% hingga 80% bagi ketiga-tiga versi adalah sama iaitu 20 minit, menurut Volvo.