EV pertama Lamborghini bakal tampil dengan 2,000 PS, seni bina 980 volt

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Volkswagen, Oliver Blume mendedahkan bahawa kenderaan elektrik pertama Lamborghini mungkin mempunyai kuasa mencecah 2,000 PS.
Angka tersebut jauh lebih tinggi berbanding 1,341 hp (1,360 PS atau 1MW) yang dicanang oleh Lamborghini ketika memperkenalkan model konsep Lanzador hampir dua tahun lalu.
Lanzador merupakan sebuah grand tourer elektrik yang mempunyai jarak lega bumi yang tinggi dan konfigurasi tempat duduk 2+2. Ia digunakan sebagai asas untuk EV pertama Lamborghini, yang dikatakan akan memasuki pasaran pada 2028.
Peningkatan kuasa yang signifikan itu mungkin ada kaitan dengan pendedahan Blume, yang berkata EV itu akan mendapat manfaat daripada kit elektrik yang dibangunkan dengan kerjasama jenama-jenama di bawah Kumpulan itu.
Tambah beliau lagi, EV tersebut juga akan menggunakan platform yang kini sedang dibangunkan oleh Porsche sebagai ketua projek, untuk model-model Audi, Bentley, Lamborghini dan Porsche.
Platform berkenaan dikatakan mampu menampung kuasa sehingga 2,000 PS dan 980 volt untuk pengecasan yang lebih pantas dan kecekapan tenaga yang lebih baik. Pada masa kini, model-model EV di bawah Kumpulan Volkswagen menggunakan seni bina 400V dan 800V.
Blume turut mengesahkan yang EV itu akan dihasilkan di ibu pejabat Lamborghini di Sant’Agata di Itali, namun perincian mengenai bateri masih dirahsiakan.