Hyundai Insteroid adalah EV kecil yang disuntik steroid

Diperkenalkan buat pertama kali pada Jun tahun lalu, Hyundai Inster merupakan kenderaan elektrik subkompak yang comel pada pandangan mata.
Tidak lama lagi, EV itu bakal mempunyai ‘kembar’ yang lebih agresif dan ganas yang dikenali sebagai Insteroid.
Menurut Hyundai, nama Insteroid datang daripada gabungan ‘Inster’ dan ‘Steroid’. Ia masih belum didedahkan sepenuhnya (itu akan berlaku pada awal April) namun teaser rasmi ini menunjukkan sedikit sebanyak rekaan model itu.
Apa yang kami boleh lihat, Insteroid didatangkan dengan lampu utama berbentuk bulat dan lampu piksel yang sama seperti Inster namun selain itu, ia adalah jentera yang berbeza sama sekali.
Ini kerana Insteriod memakai kit badan lebar dan spoiler belakang gergasi yang direka berdasarkan permainan video. Bagi penulis, ia kelihatan tidak ubah seperti kereta rali WRC yang sebenar.
Selain itu, ia juga mempunyai skup bumbung, liang udara pada bahagian fender, diffuser belakang yang menonjol dan rim cakera 21 inci. Bahagian dalamannya masih belum ditunjukkan namun ia jelas telah dikosongkan bagi memberi ruang kepada sangkar keselamatan.
Spesifikasi teknikal Insteroid juga masih belum diketahui namun memandangkan ia dilengkapi dengan butang Boost dan mod Track, ia pastinya lebih berkuasa dan mengujakan untuk dipandu jika dibandingkan dengan Inster.
Kereta itu, yang mana menurut Hyundai sangat popular di Korea Selatan dan Eropah, dikuasakan oleh motor elektrik tunggal dengan 97 PS dalam versi Standard atau 115 PS dalam versi Long Range.