Ucap sayonara kepada Mazda 2, 6, CX-3 dan MX-30

Dengan kereta sport dan enjin generasi baharu sedang dalam persiapan, masa depan Mazda nampak begitu mengujakan. Namun malangnya, ada beberapa model sedia ada yang bakal dihentikan pengeluarannya seawal hujung tahun ini.
Mazda 2
Pertama sekali adalah Mazda2, yang berada dalam pasaran sejak 2014 lagi. Hatchback ini sebenarnya mendapat kemas kini pada 2019 dan 2023 namun ia dilihat sangat kecil dan tidak cukup untuk membuatnya kekal relevan dalam pasaran.
Jualan hatchback ini sudah pun dihentikan di United Kingdom pada Februari lalu namun pelanggan di Eropah masih boleh mendapatkan versi hibrid yang merupakan versi rebadge dari Toyota Yaris. Setakat ini, masih tiada berita mengenai penggantinya.
Mazda CX-3
Seperti Mazda 2, crossover kompak CX-3 juga telah dilancarkan lebih 10 tahun lalu. Ia masih boleh didapati di Jepun dan beberapa pasaran Asia (termasuk Malaysia) namun di Amerika Syarikat dan Eropah, model ini sudah dihentikan jualannya.
Walau bagaimanapun, masih ada sinar untuk CX-3 kerana terdapat laporan yang mengatakan Mazda sedang membangunkan model generasi baharu yang menawarkan pilihan enjin hibrid.
Mazda 6
Mazda 6 generasi ketiga juga bakal menemui penghujung ayatnya selepas jualan sedan itu dihentikan di Amerika Utara pada 2021, UK pada 2023 dan Jepun pada 2024. Terbaru, sedan itu ditarik dari pasaran Australia selepas didapati tidak mematuhi piawaian keselamatan.
Peminat Mazda 6 bagaimanapun tidak perlu gusar kerana sedan itu sudah pun mempunyai pengganti iaitu Mazda EZ-6 yang dibangunkan dengan kerjasama Changan. Model itu menggunakan Deepal SL03 dan boleh didapati dalam versi elektrik sepenuhnya dan PHEV.
Mazda MX-30
Akhir sekali, kenderaan elektrik produksi pertama Mazda iaitu MX-30 juga bakal ‘dicantas’ selepas hanya lima tahun berada dalam pasaran. Ini bukanlah keputusan yang mengejutkan memandangkan ia hanya boleh dipandu sejauh 199 km dengan satu cas penuh.
Namun begitu, Mazda masih menawarkan versi range extender dengan enjin rotari yang dikenali sebagai e-SkyActiv R-EV. Walaupun ia mempunyai jarak gerak elektrik sejauh 85 km sahaja, model ini boleh dipandu sejauh 600 km dengan kuasa elektrik dan petrol.